Pelakon Ako Mustapha kini dirawat di zon merah kritikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan ketiadaan insulin dalam badan.
Perkara itu dikongsikan isterinya, Kartina Shuaib yang berkata, Ako terpaksa dikejarkan ke HKL akibat saraf dan otot tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik.
Menurutnya, dia tidak mengetahui Ako atau nama sebenarnya, Muhaizad Ahmad Mustapha, 51, tidak mengambil ubat kencing manisnya sepanjang dia bekerja di luar kawasan selama seminggu.
“Ako tinggal bersama anak-anak dan bekerja seperti biasa. Tapi saya tidak tahu yang dia tidak mengambil ubat kencing manis bila saya tiada.
“Apabila saya tiba di rumah, saya lihat wajahnya sudah lain macam. Dia memaklumkan baru muntah selepas minum air dan sup. Apa sahaja yang masuk ke dalam perut akan keluar balik.
“Saya nasihatkan untuk segera ke hospital, tetapi dia enggan. Muka dia pun dah mula senget menyebabkan saya terus hubungi ambulan selepas itu,” katanya.
Bagaimanapun, Kartina menegaskan Ako tidak berdepan penyakit strok.
Tambahnya, Ako akan dipantau selama 24 jam dengan harapan setiap yang dimasukkan ke dalam badannya tidak ditolak keluar.
“Doktor kata bukan strok tetapi sebab tiada insulin dalam badan. Doktor beri dia enam liter air, glukosa beserta insulin.
Berkongsi perkembangan terkini, Kartina berkata, Ako kini sudah boleh membuka mulut dan bertutur, cuma keadaannya masih lemah.
“Pernafasannya lemah dan kuantiti oksigen juga menurun. Tetapi doktor di HKL pantas melakukan kerja. Sekejap saja pulih dan Ako dah boleh buka mata dan senyum.
“Sekarang dia dipindah ke wad isolasi yang tidak membenarkan sesiapa melawat,” katanya.
Ako berkahwin dengan Kartina pada 17 Januari 2009 dan pasangan itu mempunyai empat orang cahaya mata.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Ako Mustapha
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI