Penyanyi, Oja memaklumkan perkembangan terkini pelakon senior yang juga abang iparnya, Haeranyo Hassan yang kini sedang menerima rawatan di hospital selepas dipercayai diserang angin ahmar.
Menerusi temubual bersama Melodi, Oja memberitahu, keadaan Haeriyanto kini menunjukkan perkembangan positif.
Katanya lagi, pihak doktor juga turut telah mengesahkan, Haeriyanto sebenarnya bukanlah diserang strok tetapi hanya keadaan sarafnya sahaja yang lemah.
“Bila kita lihat, keadaannya memang seperti angin ahmar atau strok. Bagaimanapun, mengikut info terkini daripada pihak kakak saya, keadaannya kini semakin baik. Alhamdulillah.
“Doktor pun dah sahkan, bahagian kiri yang dikatakan tak boleh bergerak itu sebenarnya bukanlah strok. Sebaliknya, hanya lemah sahaja. Dia masih lagi dapat merasai sarafnya daripada kepala hingga ke kaki.
“Itu berita baik yang baru kami terima. Kalau tengok keadaan semasa memang seperti perlu dibedah serta merta tapi mereka tahan dahulu sebab tekanan darahnya terlalu tinggi. Sebentar tadi parasnya dah menurun,” katanya seperti yang dipetik.
Penyanyi lagu Dasira itu turut menambah, dia kini mengambil tanggungjawab untuk menjaga anak-anak kepada Haeriyanto buat sementara waktu.
“Abang Haeriyanto sangat kuat. Dia masih lagi boleh berkomunikasi. Saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak-anaknya. Mereka ada di rumah saya. Saya galas tanggungjawab itu walaupun saya ada kerja saya sendiri.
“Saya pun terpaksa batalkan untuk bantu kakak saya. Kakak saya sangat tak kuat. Dia minta maaf kepada rakan media sebab dia tak kuat untuk bercakap,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Oja atau nama sebenarnya Daninas Huza Daud turut memaklumkan, abang iparnya itu juga perlu menjalani waktu rehat yang mencukupi sebelum memulakan semula rutinya di set pengambaran.
“Kita harapkan supaya dia tak perlu dibedah sebab peluang untuk kembali pulih selepas pembedahan itu sangat lama.
“Buat masa sekarang, dia sedang menjalani pengambaran untuk tiga buah telefilem. Saya harap agar dia dapat kembali sihat seperti sedia kala. Saya juga memohon agar pihak produksi dapat bersabar dan memahami keadaan abang ipar saya.
“Doktor pun kata semangatnya kuat. Bagaimanapun, kalau dia dah kembali sihat nanti, dia tetap kena berehat dulu. Sampai dia betul-betul pulih. Saya mohon doa anda semua supaya Allah dapat tarik semula sakit Haeriyanto dan kembali sihat seperti biasa,” akhirinya.
Sekadar informasi, Haeriyanto telah dikejarkan ke hospital pada pagi Sabtu selepas mengadu sakit kepala yang agak kuat.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber: YouTube Melodi
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI