“Doktor Terpaksa Beri Ubat, Pam Darah Ke Jantung,” – Kena Serangan Jantung Buat Kali Pertama, Jasmin Hamid Masuk CCU

Share

Sejak awal pagi tadi, industri seni tanah air dikejutkan dengan perkhabaran melibatkan pelakon, Jasmin Hamid yang didakwa telah dikejarkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan jantung.

Terbaru, menerusi hantaran terkini di laman Instagram Jasmin, suaminya Nazmir Abd Rahim memaklumkan mengenai keadaan terkini isterinya itu.

Menurut Nazmir, Jasmin bukan dirawat di ICU sebaliknya dia ditempatkan di Unit Rawatan Koronari (CCU).

Katanya lagi, Jasmin telah terkena serangan jantung pada malam tadi buat kali yang pertama.

“Assalamualaikum semua. Saya suami kepada Jasmin ingin memberi tahu keadaan terkini isteri saya. Sekarang ini, beliau berada di wad CCU dan bukan ICU kerana serangan jantung semalam untuk pertama kali.

“Keluarga beliau memang ada sejarah jantung. Tekanan darah dan degupan jantung agak rendah dan doktor terpaksa berikan bantuan ubat untuk pam darah ke jantung,” tulisnya.

Nazmir turut menambah, pihak doktor juga terpaksa memberikan bantuan ubat bagi melancarkan saluran darah ke jantungnya.

Dikesempatan itu juga, Nazmir turut memohon kepada orang supaya menitipkan doa agar pelakon drama, 7 Hari Mencintaiku 3 itu dapat kembali sembuh dengan segera.

“Pada yang sayangkan beliau, mohon panjatkan doa untuk Allah panjangkan usianya dan diberikan kesembuhan seperti sedia kala secepat mungkin,” ujarnya lagi.

Melihat di ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis meluahkan rasa terkejut selain turut memberikan kata-kata semangat buat Jasmin.

“Semoga Allah permudahkan segala urusan. Cepat sihat ya kak. Love you,” balas pelakon, Wan Sharmila

“Allahu, semoga Kak Min selamat dan sihat,” komen pelakon, Fizo Omar.

“Ya Rab, berikanlah kesembuhan dengan segera buat Jasmin dan kembali sihat walafiat. Dipanjangkan umur dalam rahmatmu,” balas rakan artis, Umie Aida.

“Semoga Allah beri kesembuhan dengan segera buat sahabatku Jasmin,” respon pelakon, Ziela Jalil.

“Ya Allah, hilangkanlah sakitnya. Berikan kesembuhan padanya dan lindungilah dia,” balas pelakon, Fauzi Nawawi.

Awal pagi tadi, beberapa rakan artis dilihat telah memuat naik beberapa hantaran khas di Instagram bagi memohon para netizen untuk sama-sama mendoakan semoga semuanya baik-baik sahaja buat Jasmin.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber & Kredit Foto: Instagram Jasmin Hamid

Published by
Aizam Manaf