Suami kepada penyanyi dan pelakon, Lufya Omar, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum, 29, mengesahkan dirinya sudah menjatuhkan talak kepada isterinya itu minggu lalu.

Jelas Dr Che Hafiz, perkara tersebut dilafazkannya menerusi aplikasi WhatsApp selepas perbincangan  untuk menjernihkan keadaan seperti menemui jalan buntu.

“Saya sudah menerima permintaan Lufya untuk meminta cerai. Akhirnya saya menyambutnya dengan cara baik minggu lalu ketika kami berhubung menerusi WhatsApp bagi membincangkan hal rumah tangga.

“Bagaimanapun, apa yang boleh saya katakan, perbualan kami tidak mencapai kata sepakat,” jelasnya kepada MH.

Ditanya mengenai apakah punca sebenar hingga membawa kepada konflik tersebut, Dr Che Hafiz enggan mengulas lanjut.

Sebaliknya, dia mengharapkan agar apa yang telah berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Saya harap penjelasan ini sudah pun jelas. Ia terlalu peribadi untuk saya kongsi. Banyak hati yang perlu dijaga.  Namun saya mengharapkan agar netizen tidak membuat sebarang spekulasi.

“Saya lebih mengenalinya dan begitu juga dengan dia. Doakan yang terbaik buat kami demi anak. Selebihnya, biarlah kami yang selesaikan,” katanya yang tidak lagi tinggal sebumbung kira-kira tiga bulan lalu.

Terdahulu, kisah pergolakan rumah tangga bintang Mahar Tanpa Cinta berusia 34 tahun itu mulai diperkatakan apabila dirinya ada memuat naik status yang antara lain menyentuh isu berkaitan rumah tangga.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut telah dipadam Lufya bagi mengelakkan sebarang telahan dibuat netizen.

Sekadar imbasan, Lufya dan Hafiz diijabkabulkan pada 26 November 2016 dan dikurniakan seorang puteri yant diberima Laana Haura, kini berusia dua tahun.