Pentas akhir pertandingan Miss World 2021 sepatutnya diadakan pada 16 Disember 2021 yang lalu. Namun disebabkan penularan virus Covid-19 dalam kalangan peserta dan juga kru, organisasi Miss World mengambil keputusan untuk menangguhkan pentas akhir pertandingan itu.
Peserta yang tidak dijangkiti dilihat segera meninggalkan negara tuan rumah, Puerto Rico manakala mereka yang dijangkiti kekal di sana sehingga pulih. Wakil Malaysia, Dr. Lavanya Sivaji, 24, antara yang melalui proses pemulihan dan kuarantin setelah disahkan positif Covid-19.
Kelmarin, telah diumumkan bahawa pentas akhir pertandingan ratu cantik berprestij itu bakal diadakan pada 16 Mac akan datang bertempat di negara yang sama.
Berserta pengumuman itu, pihak Miss World juga mengumumkan baki 25 peserta yang layak ke peringkat Top 40 berdasarkan markah yang diberikan oleh para juri tetap.
BACA JUGA: [TRIVIA] 10 Selebriti Popular Ini Pernah Bergelar Ratu Cantik Mewakili Malaysia Ke Persada Antarabangsa
Ternyata usahanya tidak sia-sia, wanita yang petah berkata-kata ini antara yang tersenarai dan akan terbang semula ke Puerto Rico meneruskan saki baki perjuangan yang belum selesai.
Sebelum ini 15 orang peserta lain telah berjaya menembus jajaran peringkat top 40 atas kejayaan mereka memenangi cabaran yang telah dijalankan. Antara cabaran itu adalah sukan, bakat, head-to-head challenge
dan juga beauty with a purpose. Untuk edisi 2021 ini, seramai 97 peserta dari seluruh dunia telah mengambil bahagian.Meninjau halaman Instagramnya, anak jati Selangor ini menulis, “Malaysia telah berjaya tembus ke peringkat suku akhir, top 40 Miss World menerusi pemilihan juri. Saya sangat gembira dan bersyukur untuk berita ini. Puerto Rico kami datang.”
Bersamanya, peserta lain dari Asia Tenggara yang turut tersenarai adalah dari negara Indonesia, Filipina dan Vietnam.
Sedikit latar belakang Dr. Lavanya Sivaji. Merupakan bekas pelajar SMK Seri Garing, Rawang, dia kemudiannya menyambung pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan kini bergelar seorang doktor perubatan.
Pertandingan Miss World seumpamanya banyak melahirkan personaliti popular tanah air antaranya seperti primadona Erra Fazira, Deborah Henry, Thanuja Ananthan, Dr Soo Wincci dan Lina Teoh.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan