Dr Muhaya Komen Isu Konsert Antarabangsa; “Saya Tak Menghukum Atau Menghakimi Sesiapa, Saya Hanya…”

Share

Pakar motivasi, Datuk Prof Dr Muhaya Mohamad memberikan pendapat mengenai isu konsert artis antarabangsa yang hangat diperkatakan, baru-baru ini.

Mengutarakan pandangan secara peribadi, doktor pakar mata ini mengulas mengenai penganjuran konsert penyanyi luar negara di Malaysia yang menjadi polemik sesetengah pihak kerana didakwa menjadi sebab penularan budaya hedonisme dan sebagainya.

“Apa-apa yang Allah tak reda, saya tak setuju. Salah satu tanda Allah sayangkan seseorang ialah apabila dia tidak menghabiskan masa dengan perkara sia-sia.

“Apakah perkara yang sia-sia itu? Ia tidak memberatkan timbangan di Padang Mahsyar. Malaikat sentiasa mencatat perbuatan kita.

“Kita sendiri ada ‘pilihan raya’ setiap saat. Sebelum buat sesuatu perkara, kita harus fikirkan lima pilihan iaitu iman atau nafsu, syurga atau neraka, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan Allah reda atau Allah murka?

“Jika ada yang bertanyakan mengenai konsert artis luar negara kepada saya, letak dahulu lima pilihan itu, barulah bertindak membuat keputusan. Saya pun suka berhibur, tetapi saya berhibur dengan suami. Saya menyanyi di rumah sahaja.

“Saya tak menghukum atau menghakimi sesiapa, saya hanya memberikan pandangan peribadi. Berkenaan dengan hukum, saya tak boleh komen, itu saya serahkan kepada ustaz atau yang lebih arif,” katanya.

Muhaya ditemui di seminar transformasi Prof Muhaya Circle (PMC) 2022 ‘Zero Stress Living’ di The Everly Hotel, Putrajaya pada Sabtu.

Mengulas mengenai PMC, Muhaya mendedahkan selepas pandemik melanda, ramai individu yang terkesan, terutama daripada sudut tekanan emosi serta perasaan.

Menerusi program ini, Muhaya menjawab dan mencari solusi bersama peserta-peserta yang hadir untuk menangani perkara berkenaan.

“Program PMC berdasarkan 41 tahun pengalaman saya bertemu dengan pelbagai lapisan manusia. Ia telah membantu lebih 11,000 orang yang sebelum ini mengakui ‘telah mati’ dalam kehidupan.

“Semua yang hadir mahu menjadi lebih positif. Menerusi seminar ‘Zero Stress Living’, peserta akan mengenal pasti sumber stress, apa kesannya dan solusi asas untuk mereka keluar daripada belenggu stress.

“Alhamdulillah, kali ini lebih 500 orang yang menyertai PMC. Ia pertama kali diadakan secara bersemuka kerana sebelum ini, semuanya dibuat secara atas talian. Semua yang hadir mahu hidup dengan transformasi positif dan menjadikan ‘pencinta tanpa syarat’ sebagai modus operandi kehidupan,” katanya lagi.

Selain lebih 500 peserta, PMC turut dihadiri oleh beberapa selebriti seperti Datin Lisa Surihani, Tya Arifin, Hafiz Hamidun, Mia Ahmad, Wany Hasrita, Amira Othman dan ramai lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH