Dr. Say Jumpa Pakar Jantung Sebab Tahap Kolestrol Tinggi, Ulas Rasa Kecewa Insiden Video Viral Pemandu Lori

Share

Sejak semalam, tular di media sosial susulan sepotong video seorang pemandu lori yang dilihat cuba menahan kesakitan akibat serangan jantung selepas lori yang dipandunya difahamkan telah melanggar tiga buah kereta.

Bagaimanapun, pemandu tersebut telah disalah ertikan selepas dia dituduh memandu dalam keadaan mabuk.

Tambah memilukan, pemandu lori tersebut disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Video berdurasi hampir 50 saat itu nyata mengundang reaksi pelbagai pihak.

Antara yang turut memberikan pandangan terhadap insiden berkenaan ialah hos dan doktor selebriti, Dr. Say Shazril.

Jelas Dr. Say, dia kecewa dengan tindakan individu berkenaan yang melemparkan tuduhan secara melulu.

“Jangan main-main dengan heart attack. Video pemandu lori yang dituduh mabuk oleh wanita yang merakam ni cukup mengecewakan saya. Tanpa asal-usul beliau dituduh mabuk dan tiada sebarang pertolongan diberikan kepada beliau.

“Kalau korang amati video ni elok-elok nampak betapa dalam kesakitannya pemandu tu sambil dia ber-grunting in pain dan sambil tangan kirinya memegang dada kirinya. Saya faham orang biasa mungkin tak tangkap apa yang dialami pemandu tu akan tetapi perlukah menghukum beliau sebegitu?,” tulisnya.

Rasa kecewa itu dikongsikan bapa kepada dua orang cahaya mata itu menerusi hantaran di Instagram.

Katanya lagi, pemandu lori tersebut berkemungkinan besar dapat diselamatkan sekiranya individu berkenaan segera mendapatkan bantuan.

“Kalaulah wanita tersebut bertanya “pakcik ok ke? Nak saya panggil ambulans?” instead of menuduh pakcik tu, mungkin beliau boleh diselamatkan sebab when it comes to sakit jantung atau angin ahmar, TIME IS PRECIOUS.

“Inalillah pemandu tersebut telah meninggal dunia. Let this be a lesson to all of us, number one TO NEVER JUDGE ANYONE AIMLESSLY and number two TO EDUCATE OURSELVES ON NUMBER 1 KILLER IN OUR COUNTRY FOR 20 STRAIGHT YEARS yakni penyakit jantung iskemik,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Dr. Say turut memaklumkan sesiapa sahaja kini berisiko untuk terkena serangan jantung tidak kira sama ada usianya muda atau tua.

Tambahnya lagi, dia juga kini telah berjumpa dengan doktor pakar untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai keadaan jantungnya selepas tahap kolestrol dalam badan berada di paras yang agak tinggi.

“Saya tak hisap rokok, saya tiada darah tinggi, saya tiada diabetes, saya tiada sejarah keluarga sakit jantung tapi saya ada kolestrol tinggi. Adakah saya berisiko untuk kena serangan walaupun usia saya baru 34 tahun ni? Semestinya!

“What to do? Saya dah berbincang dengan pakar sakit jantung dan beliau suggestkan saya untuk buat CT Angiography Selasa minggu depan. Katanya risiko saya rendah tapi i just want a peace of mind sebab serangan jantung ni terlalu mengejut.

“Apa-apa nanti saya update. Semoga dipermudahkan segala urusan kita dan semoga kita sentiasa dilindungi-Nya,” akhirinya.

Melihat di ruangan komen, rata-rata netizen turut menyatakan pandangan yang sama selain turut berharap agar insiden tersebut dapat dijadikan iktibar buat semua pihak.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Sumber: Instagram Dr. Say

Published by
Aizam Manaf