“Impian yang saya pendam sejak empat tahun lalu.” Itu kata penyanyi Alergi Sepi, Azharina apabila melakar sejarah tersendiri dalam apabila dia menjadi artis tempatan pertama mengadakan sidang media serta membuat persembahan di awan biru bersama syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia, siang tadi.
Bintang asal Sabah itu bergaya mengalunkan dua buah lagu pada ketinggian 38,000 kaki dari aras laut, sekali gus mendapat tepukan dari para penumpang.
Sidang media Concert Azharina : Queen of Soul itu dilangsungkan dalam penerbangan AK 5106, dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sabah.
Menjelaskan mengenai impiannya yang terpendam sejak sekian lamanya itu, Azharina atau nama sebenarnya Azharina Azhar peluang yang diraihnya menjadi sesuatu yang sangat bermakna sepanjang 20 tahun terlibat dalam dunia seni.
“Saya sudah simpan lama impian ini (membuat persembahan dari awan biru), memang ada dalam perancangan lebih empat tahun dulu.
“Sejujurnya bila sudah berada dalam industri seni kira-kira 20 tahun lamanya, rasanya saya memang kena mencari sesuatu yang lain, berbeza dari apa yang pernah dilakukan sebelum ini. Ada elemen viral dan keunikannya di situ,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, penyanyi yang bakal muncul menerusi single terbaru, Kau Kasihku itu menambah, impian tersebut tidak akan berjaya direalisasi tanpa bantuan semua pihak.
“Tanpa sokongan daripada pihak AirAsia, pasti sidang media ini tidak dapat dijayakan. Terima kasih kepada pihak AirAsia, team pengurusan yang memastikan projek ini berjalan lancar.
“Serta semua pihak lain yang turut membantu termasuk pihak penganjur konsert, One Atlas Events. Ya, saya terharu,” jelasnya yang turut memberitahu, persiapan konsertnya kini sudah pun mendapat 70 peratus.
Terdahulu, Azharina yang juga juara program Gegar Vaganza musim ketiga sejurus sidang media turut menyampaikan dua lagu iaitu Elegi Sepi dan What’s Up? nyanyian 4 Non Blondes.
Persembahan secara akustik itu diiringi gitaris, Korie Aminuddin iaitu adik kepada penyanyi, Ella.
Selesai membuat persembahan, Azharina turut mengadakan kuiz dan setiap pemenang yang berjaya menjawab soalan dengan betul berpeluang menyaksikan konsert berkenaan, minggu hadapan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Atlas One Events, Syahrizal Ismail pula menambah, pihaknya sedang berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan dalam Malaysia Books of Records sebagai penyanyi pertama negara ini yang membuat sidang media khas di awan biru pada ketinggian 38,000 kaki dari atas laut.
“Kalau kita lihat, memang jarang sekali sidang media dan persembahan nyanyian dilalukan di atas kapal terbang yang sedang membuat penerbangan.
“Insya-Allah, pihak kami dalam proses mendapatkan pengiktirafan daripada Malaysia Books of Records, moga proses tersebut berjalan lancar,” jelasnya lagi.
Koncert Azharina: Queen of Soul bakal berlangsung pada 29 Jun ini di Royale Theatre Shah Alam.
Konsert berdurasi dua jam itu bakal menyaksikan Azharina menyanyikan 22 lagu secara solo dan medley, termasuk barisan lagu popularnya serta kejutan duet bersama penyanyi undangan.
Foto: Mohd Redzuan
SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI