Meskipun berdepan kemelut rumah tangga, pelakon, Puteri Sarah Liyana akui bersyukur kerana dikurniakan dua sosok bapa yang sentiasa menyayanginya disaat susah dan senang.
Lantaran itu, dia berharap agar hubungan baik diantara bapa kandungannya serta bapa mentua yang juga merupakan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam akan berkekalan hingga ke akhir hayat.
“Dua figura yang sangat saya hormati dan segani. Dua figura yang sentiasa jaga dan sayang sarah
“Besan’s for life. Semoga hubungan ini kekal hingga ke akhir hayat walau apapun yang berlaku pada masa hadapan.
“Terima kasih kerana menghormati keputusan Sarah,” tulisnya.
Luahan tersebut dikongsikan sendiri oleh pelakon drama Andai Itu Takdirnya menerusi sebuah hantaran di laman Instagram.
Kedua-dua buah keluarga dilihat berkumpul dan berbuka puasa bersama bagi meraikan sambutan hari lahir anak kedua Puteri Sarah, Sumayyah.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen memuji sikap Puteri Sarah yang masih menjaga hubungan baik bersama keluarga mentua selain turut mendoakan agar ukhwah tersebut berkekalan.
“Biar putus hubungan suami isteri. Jangan putus hubungan dengan mentua. Sekali mentua, selamanya mentua.
“Kami tetap mendoakan silaturahim antara ayah Puteri Sarah dan ayah Syamsul sentiasa baik hingga akhirat. Rasa sebak tengok foto ini.
“Contoh bapa mentua yang terbaik di dunia. Sangat baik dan bertanggungjawab.
“Semoga dua figura ini dipanjang umur dan diberi kesihatan yang baik, berkah dan sentiasa dalam lindungan Allah,” antara komen-komen netizen.
Terdahulu, Syamsul telah memfailkan permohonan nusyuz terhadap Puteri Sarah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada Selasa.
Manakala Puteri Sarah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi memfailkan permohonan hadanah atau tuntutan hak penjagaan terhadap dua anaknya.
Pasangan ini kemudiannya hadir pada sidang JKP di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Jawi) pada Jumaat bagi proses JPK bersama wakil masing-masing.
Namun JPK berkenaan gagal mencapai sebarang keputusan apabila Puteri Sarah bertegas untuk meneruskan penceraian.
Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Puteri Sarah Liyana