Aktres jelita, Uqasha Senrose mendedahkan dirinya telah mengalami keguguran sebanyak dua kali sejak mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Kamal Adli pada 2021.
Jelas Uqasha, kali pertama dia mengalami keguguran sewaktu mengerjakan umrah pada awal tahun 2022, manakala kali kedua pula pada November lalu.
“Saya sudah mengalami keguguran sebanyak dua kali. Pertama, semasa mengerjakan umrah. Saya datang bulan sehingga keluar darah yang agak banyak. Tak berhenti hampir setiap hari selama sebulan.
“Saya pelik juga tapi ingatkan macam tiada apa-apa yang serius. Jadi, saya buat tak tahu dan tidak membuat pemeriksaan doktor. Kemudian, haid itu kembali seperti biasa pada bulan-bulan berikutnya,” katanya kepada MH.
Jelas pelakon drama Isteri Halal ini lagi, kedua-dua kehamilan itu berlaku tanpa disedarinya.
“Masalah yang hampir sama kembali lagi pada sekitar bulan November tahun lalu. Pendarah haid saya tak berhenti. Selepas itu, pinggang saya pula rasa sakit sangat. Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin kesan daripada pendarahan terdahulu.
“Seumur hidup, saya tak pernah mengalami sakit senggugut. Kemudian, saya minta Kamal hubungi doktor sakit puan.
“Doktor minta saya buat pemeriksaan kehamilan. Bila saya periksa, memang ada dua garisan (hamil) tapi kandungan tersebut sudah tiada.
“Saya memang tak tahu ketika itu saya hamil. Saya pula banyak lakukan aktiviti lasak seperti bermain jetski dan sertai family day,” ujarnya lagi.
Lebih mengejutkan apabila Uqasha terpaksa menjalani pembedahan akibat pendarah beku di bahagian peranakkan.
“Keadaan saya pada ketika itu menjadi kerisauan pihak doktor. Dia bimbang andai kandungan tersebut berada di luar rahim.
“Jadi, saya terpaksa dimasukkan ke hospital. Hasil pemeriksaan, ada ketulan darah dibahagian peranakkan. Mungkin disebabkan saya dah lama tahan.
“Kalau tak dibuang ketulan tersebut, mungkin saya terpaksa bergantung pada satu bahagian peranakkan sahaja. Saya terpaksa jalani pembedahan, kongsinya.
Uqasha berkata demikian ketika ditemui semasa Majis Tayangan Perdana Program Ramadan Astro 2023 yang berlangsung di Hotel Pullman, Bangsar pada Khamis.
Katanya lagi, dia kini mahu menghabiskan segala projek penggambaran sebelum merancang untuk menimang zuriat.
“Doktor ada bagitahu, selepas pembedahan akan lebih mudah lekat cuma sekarang ini saya sangat sibuk dengan jadual penggambaran sehingga bulan Ogos. Jadi, kami kena merancang dengan baik.
“Saya tak mahu menggangu urusan kerja sekiranya saya hamil nanti,” katanya.
Ditanya mengenai perasaan Kamal mengenai kondisinya itu, Uqasha bersyukur kerana suaminya itu sangat positif.
“Kamal sentiasa positif. Dia kata, daripada kandungan tersebut tak sihat, lebih baik dengar kata doktor. Saya masih lagi boleh mengandung cuma bukan rezeki kami lagi.
“Siapa yang tak mahukan anak. Lagipun, selepas berkahwin, kami belum sempat berbulan madu. Jadi saya nak bulan madu dulu dengan suami,” akhirinya.
Dalam perkembangan lain, Uqasha kini sedang membintangi sebuah drama panjang 60 episod bertajuk Isteri Halal yang ditayangkan di Astro.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.