Pelawak dan usahawan, Shuib akui teruja apabila pertama kali dapat menyambut ketibaan bulan Ramadan bersama isteri tercinta, Watie Hanifiah.
Menurut Shuib, dia merasakan kehidupan keluarganya di bulan Ramadan makin tersusun dengan kehadiran Watie.
“Alhamdulillah, ini merupakan tahun pertama saya menyambut Ramadan dengan isteri baharu. Ia tahun yang cukup bermakna buat saya dan keluarga.
“Sejak daripada Ramadan yang pertama, saya sudah boleh rasa keseronokkan berpuasa. Ada orang yang akan bangun pagi untuk siapkan semua dan kejutkan kita sahur.
“Begitu juga ketika berbuka. Ada juga orang yang sibuk-sibuk memasak,” katanya kepada MH.
Pada masa sama, bekas anggota kumpulan Sepahtu ini juga gembira kerana dapat melepaskan rindu untuk menikmati juadah kegemarannya di bulan Ramadan iaitu, pajeri nanas.
“Alhamdulilah, tahun ini juga saya dapat makan pajeri nanas yang sangat sedap. Pada orang yang kenal saya, pajeri nenas itu merupakan menu yang saya boleh makan setiap hari ketika sahur dan berbuka.
“Dahulu, arwah isteri selalu masakkan pajeri nanas buat saya. Tahun ini saya dapat makan yang sama sedap. Resepinya berbeza kerana ini masakkan Watie,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, Shuib turut memuji usaha Watie yang tidak pernah jemu untuk belajar memasak menu kesukaannya dan anak-anak.
“Macam yang pernah saya katakan dahulu, Watie ini ada tangan ajaib. Ini merupakan kali pertama dia masak pajeri nanas.
“Ada banyak makanan yang baru dia masak buat pertama kali tapi rasanya seperti sudah lama dia belajar memasak.
“Walaupun bulan puasa kita tak boleh nak rasa ketika memasak tapi hasilnya sangat sedap,” katanya lagi.
Ditanya mengenai menu kegemaran di Hari Raya, Shuib memaklumkan kuah kacang dan rendang sentiasa menjadi pilihan utamanya.
“Kalau boleh, tahun ini saya nak Watie buatkan kuah kacang dan rendang. Dua menu ini memang kepakaran arwah Sarah.
“Saya memang nak kekalkan menu-menu yang selalu arwah masakkan buat keluarga,” akhirinya.
Terdahulu, Shuib memaklumkan dia bakal mengumpulkan seluruh ahli keluarga, mentua dan sanak saudara untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Parit Buntar, Perak.
Sekadar informasi, Shuib dan Watie telah mendirikan rumah tangga dengan hanya sekali lafaz pada tanggal 23 Jun 2023.
Sebelum ini pula, Shuib kehilangan isteri tercinta yang juga merupakan penyanyi terkenal, Allahyarham Siti Sarah disebabkan wabak COVID-19.
Mereka dikurniakan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 11, Dzahira Talita Zahra, 9, Ariq Matin, 6, dan Ayash Affan, 2.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.