Penyanyi 90-an terkenal, Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, yang sudah tampil dengan imej berhijab sejurus pulang dari mengerjakan umrah kini sedang berhadapan dengan dugaan hidup.
Pada usianya 50 tahun kini, bintang yang sinonim menerusi lagu Teringin itu kini sudah dikategorikan sebagai golongan asnaf.
“Gugur jantung apabila diberitahu saya kini dikategorikan sebagai golongan asnaf,” luahnya seperti yang dipetik Harian Metro.
Difahamkan, perkara itu dimaklumkan pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang mengunjungi kediamannya beberapa hari lalu.
“Malah mereka memohon maaf kepada saya sebelum menyebut perkataan ini.
“Mereka juga berjanji akan buat sedaya upaya dan tengok apa yang LZS boleh bantu saya.
“Tak dinafikan hiba juga mendengarnya tapi apa nak buat kerana ini kenyataan yang perlu saya terima,” kata Shima seperti yang dipetik.
Sementara itu apabila kembali mengimbas memori, bintang bersuara serak-serak basah ini mengakui suatu ketika dahulu kehidupannya agak mewah.
“Memanglah dulu saya dijulang dan undangan persembahan pula tak putus diterima.
“Tapi sekarang saya terima hakikat sedang susah. Tak perlu saya ego nak menafikan perkara ini kerana ia ujian Allah.
“Saya tak pernah minta apa-apa daripada masyarakat. Tapi peluang tak diberikan untuk mencari rezeki. Malah persembahan yang bayar murah pun saya pergi,” kongsi Shima.
“Cuma lagu lama saya kerap dimainkan di radio tapi hasil royalti yang dapat bukanlah banyak sangat,” katanya.
Dalam pada itu, dia yang sudah lama menderita sakit saraf serta sakit belakang turut mengakui ada melakukan rawatan secara berkala di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.
Terbaru, Shima turut disahkan mengalami sakit lemah pundi kencing dan perlu menggunakan lampin pakai buang untuk mengatasi masalah itu.
“Makin lama kehidupan makin sukar kerana masalah sakit belakang semakin serius membuatkan saya terpaksa berehat seketika daripada berniaga.
“Untuk sembuh memang mustahil dan kalau buat pembedahan risikonya 50:50. Duit pun banyak keluar. Saya perlukan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk tujuan perubatan, manakala sewa rumah pula RM600.
“Wang simpanan saya ketika berniaga terpaksa dikeluarkan untuk tujuan perubatan dan lain-lain kegunaan,” jelasnya.
Atas kesulitan hidupnya kini, Shima berhasrat mahu mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Lalu, dia cukup mengharapkan agar ada mana-mana pihak tampil meringan bebannya.
Terkini, penderitaan Shima telah mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang mengunjunginya.
Foto: Instagram Shima