Siapa yang sangka, hanya dengan menjual kek, wanita ini mampu mencipta fenomena dan bergelar jutawan hingga mencetuskan viral di kalangan wargamaya.

Siti Noor Sabrina Soobri atau Sabrina asalnya bekerja sebagai juru x-ray selama sedekad di sebuah kolej perubatan sebelum terlintas memulakan perniagaan sendiri.

Minat menyediakan pastri antara titik tolak awal kepada minatnya mencetuskan perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd.

Bermula dengan berniaga di rumah secara kecil-kecilan di Taman Medan, Petaling Jaya (PJ), jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.

Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151 ribu ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpengkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.

“Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan combo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.

“Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.

“Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar,” katanya.

Sabrina terdahulu menganjurkan Mamasab Grand Award 2021 bagi meraikan ejen dan pelancaran inisiatif Mini Hub oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, 7 Ogos lalu.

Ads

Kata Sabrina, nama perniagaannya terbit hasil hubungan baik dengan ejen.

Dulu Juru X-Ray Kini Jutawan Kek! Kisah ‘Mamasab’ Kaut Jualan Berjuta Jadi Inspirasi Semua Dulu Juru X-Ray Kini Jutawan Kek! Kisah ‘Mamasab’ Kaut Jualan Berjuta Jadi Inspirasi Semua

“Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.

“Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.

“Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan,” katanya.

Ads

Dia pada masa sama tidak menafikan pandemik COVID-19 dua tahun lalu turut membantutkan perniagaannya.

“Lalu terhasillah inisiatif mewujudkan sistem mini hub untuk berniaga secara offline. Selama ini termasuk waktu PKP, perniagaan 100 peratus berpaksikan dalam talian.

“Tapi saya sedar ada ejen yang tidak pandai berniaga secara online. Ada yang segan nak buat lintas langsung atau bercakap depan kamera. Pendek kata skil mereka terbatas.

“Mini hub ini membantu ejen saya berniaga offline dan ia sebagai alternafif. Mini hub ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Sabrina berkata selama ini perniagaannya berpaksikan pemasaran dengan ‘zero cost’.

Ads

Namun, kini jenama itu berfikir perlu melaburkan wang untuk terus meningkatkan jualan termasuk menaikkan papan iklan di sepanjang lebuh raya.

“Dalam usaha untuk terus terbang tinggi, kena laburkan sejumlah wang. Pemasaran dengan ‘zero cost’ sudah tidak relevan lagi terutama selepas era pandemik.

“Kami perlu melakukan sesuatu untuk ‘boost’ jualan. Justeru, kami menaja 30 papan iklan bagi master stokis terpilih. Tapi secara keseluruhan ada lebih 200 papan iklan akan dinaikkan bermula hujung bulan ini secara berperingkat.

“Papan iklan ini bukan sekadar dihiasi wajah saya. Tapi wajah ejen juga akan menghiasi papan iklan. Saya percaya kena ada gabungan pengasas dan ejen sebegitu untuk berjaya. Tak boleh muka pengasas saja yang glamor, ejen pun perlu diketengahkan.

“Insya-Allah menjelang 2025, kita nak capai sasaran jualan RM1 bilion ” katanya yang berjaya menghasilkan jualan sebanyak 162 juta ringgit pada tahun 2021.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI