Penyanyi dan penulis lagu, Haqiem Rusli menyifatkan dirinya langsung tidak pernah terfikir untuk merasai nikmat kejayaan seperti ketika ini kerana beranggapan dirinya hanyalah seorang budak kampung.
Menurut Haqiem, segalanya berlaku dengan begitu pantas dan dia amat bersyukur mengenai perkara tersebut.
“Saya tak pernah jangka. Saya pun tak expect semua ni berlaku dalam hidup saya. Suatu masa dahulu saya hanya budak kampung tiba-tiba segalanya berubah 360 darjah.
“Jujur saya katakan, dulu kalau saya nak lepak RM5 pun saya takda. Dalam 2017, semuanya berubah,” katanya kepada MH.
Ketika ramai yang memganggap kontroversi yang melanda dirinya satu ketika dahulu merupakan titik tolak kepada kejayaannya ketika ini, Haqiem menjelaskan segala telah diatur dengan baik oleh yang maha Esa.
“Betul tu, sebab tu saya kata perjalanan hidup ini memang telah diatur. Mungkin segala yang berlaku itu adalah proses kematangan saya.
“Mungkin jika perkara seperti itu tidak berlaku, mungkin sekarang saya berlagak, lupa diri atau jadi orang yang jahat. Allah nak bagi saya jatuh untuk saya mengetahui apa erti kehidupan ini,” jelasnya lagi.
Sementara itu, penyanyi lagu Mimpi ini juga mengakui dirinya berasa sedikit hairan melihat perangai segelintir artis yang suka melihat kejatuhan rakan selebriti yang lain.
Jelas Haqiem, sebagai rakan industri, kita harus mengangkat satu sama lain dan bukanlah sebaliknya.
“Jujur saya katakan, saya tidak pernah mengecam orang di media sosial. Saya tak pernah kacau orang. Nak komen seseorang tu menyanyi atau berlakon tak bagus, buat apa?
“Contohnya sekiranya orang tu ada isu pun saya akan back up dia. Bukan nak tunjuk saya baik, saya nak tunjuk ini sepatutnya artis kena buat.
“Saya tak faham kenapa budaya sekarang ni, kalau seseorang artis tu buat hal, artis yang lain pun nak kecam. Kenapa nak kena ada prinsip hati yang busuk tu. Sebagai artis kita kena sokong sesama sendiri.
“Kalau rakan kita buat salah, nasihatkanlah dia. Tak perlulah sampai nak tweet. Saya rasa itu tak perlu. Budaya tu tak bagus,” akhirinya