Pendatang bakat baru dalam industri hiburan lokal datang dan pergi dan boleh diibaratkan bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Pelakon jelita, Anzalna Nasir misalnya mengakui tidak berasa tercabar dengan kelahiran bakat baru dalam industri hiburan.
Ini kerana, baginya masing-masing mempunyai bakat tersendiri misalnya pendatang baru yang dicungkil menerusi program realiti Pencarian Dewi Remaja.
Terjun ke dunia seni selepas menyertai program sama hampir sembilan tahun lalu, Anzalna atau nama sebenarnya Nur Anzalna Md Nasir juga percaya rezeki.
“Walaupun Anzalna dah ada anak, dulu pernah fikir juga alamak ramainya pendatang baru.
“Seperti saya yang bergelar isteri dan ibu, mesti orang akan fikir saya seperti berada pada satu tahap berbeza.
“Tapi selepas habis pantang, hari yang ke-45, saya akui ada terima tawaran berlakon dari syarikat produksi. Akan tetapi tawaran tersebut terpaksa tolak cara baik kerana saya lebih selesa untuk jaga anak kecil sendiri,” jelas Anzalna.
Pada masa sama, Anzalna menyifatkan kehadiran anaknya yang dilahirkan pada 31 Mei lalu sebagai rezeki bermakna.
“Eidress boleh diibaratkan satu anugerah yang paling indah dalam hidup dan itu juga yang kami nantikan selama ni.
“Jadi bila ada dia saya kena hargai apa yang Allah bagi dekat saya dan kena bagi fokus yang sepenuhnya terhadapnya juga selain suami.
“Apa pun, saya tidaklah ada rasa tercabar dengan bakat-bakat baru, rezeki Allah itu luas dan sentiasa ada, insyaAllah,” katanya kepada MH.
Anzalna ditemui MH pada majlis pelancaran tudung jenama HANAMI yang berlangsung di The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur pada Selasa.
Sekadar informasi, Anzalna merupakan bintang kelahiran Dewi Remaja 2009/2010 sezaman Izara Aishah, Syatilla Melvin, Azar Azmi dan juaranya, Neelofa.