Pelakon, Puteri Sarah Liyana mendedahkan dirinya kini lebih berani untuk berhadapan dengan realiti kehidupan selepas akhirnya dia diceraikan oleh bekas suaminya yang juga merupakan pengarah sensasi, Syamsul Yusof pada Rabu.
Menurut Puteri Sarah, dia menerima perpisahan ini dengan berlapang dada.
“Lepaskan. Dulu saya sangat takut untuk melepaskan. Dulu saya benci perpisahan. Dulu saya benci mengakhiri sesuatu. Dulu saya sangat takut betapa sakitnya hati saya ketika mereka tidak ada lagi dalam hidup saya.
“Saya memiliki banyak pertanyaan bagaimana, jika dan apa yang bisa terjadi kemudian dan disitulah kesalahan saya selama ni. Takut akan segalanya,” tulisnya.
Luahan itu dikongsikan sendiri oleh ibu kepada dua orang cahaya mata itu menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Tambah pelakon drama Hijrah Jannah itu lagi, setiap perkara yang berlaku adalah ketentuan daripada Allah.
“Dan sekarang saya mengerti. Ketika sesuatu berakhir, itu berakhir kerana suatu alasan. Ketika sesuatu tidak berhasil, itu tidak berhasil kerana sesuatu alasan. Kamu tahu melepaskan itu indah.
“Terkadang, itu sulit. Tapi selalu ingatkan dirimu bahawa setiap yang berlaku atas izin- Nya. Lepaskanlah hal-hal yang telah menyakitimu.
“Bersabarlah dalam prosesnya. Kerana setelah setiap kesabaran, ada hal yang indah yang menantimu,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Sarah hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan untuk proses lafaz talak sekaligus, sah bercerai dengan talak satu.
Sebelum melafazkan cerai itu, Puteri Sarah dan Syamsul dilihat bersalaman dan masing-masing kelihatan tenang.
Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4,.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Sumber & Kredit Foto: Instagram Puteri Sarah