Berita

Dulu Sekat Tapi Kini Simpan Buat Bahan Bukti, Sophia AlBarakbah Sedia Ambil Tindakan Undang-Undang Penghantar Komen Lucah & Cacian

Share

Pelakon Sophia Albarakbah tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pengguna media sosial yang sering meninggalkan komen berbaur lucah atau hinaan terhadap dirinya.

Menurut Sophia, 31, dia dan pihak pengurusannya kini mengumpul bahan bukti seperti tangkap layar mesej berkaitan sebelum meneruskan dengan tindakan susulan.

“Tidak dinafikan saya banyak terima ‘direct message’ (DM) yang tidak senonoh termasuk gambar. Saya tidak tahu bagi mereka adakah ini perkara lawak dengan menghantar DM tidak senonoh seperti itu.

“Jadi kami sedang menyimpan bukti, semua DM atau komen yang teruk seperti makian dan perkara tidak senonoh semua telah dikumpulkan.

“Ada juga yang menggunakan akaun sama memberikan teks sedemikian. Nampak bersungguh-sungguh sangat membenci tu. Kita pun simpan sajalah sebagai bahan bukti,” katanya.

Sophia berkata demikian ketika ditemui pada Malam Gaya Tayangan Perdana Filem Harimau Malaya di GSC The Starling, Petaling Jaya, pada Isnin.

Sophia berkata, dia juga menerima pelbagai mesej berbaur kebencian tanpa mengetahui sebab utama individu terbabit melakukannya.

“Apa yang boleh saya katakan, ada dua jenis mesej yang sering diterima iaitu foto yang tidak senonoh dan terutama daripada lelaki. Satu lagi adalah mesej memaki hamun tanpa sebab spesifik.

“Sebelum ini bila terima mesej sedemikian, saya akan terus sekat sahaja. Namun sekarang lebih baik untuk biarkan saya di situ sebagai bukti jiwa bawa perkara ini ke tengah.

“Macam dulu ketika saya sekat, memang banyak juga kira-kira 50 peratus DM, tapi saya tidak terus sekat sebab mahu kumpul bukti cuma ia tidaklah sebanyak dahulu,” katanya lagi.

Pelakon berdarah kacukan Arab, Melayu dan Cina ini turut menambah, untuk memastikan mentalnya sentiasa dalam keadaan baik, dia akan cuba elak daripada membaca komen negatif.

“Pada awal sudah tentu saya terkesan dengan perkara ini. Tapi, saya tetap perlu bekerja dan hidup seperti biasa. Jadi, saya cuba untuk tidak terlalu baca semua komen atau mesej sebegitu. Saya cuba tapis perkara yang tidak baik seperti itu,” katanya.

Selain Sophia, turut sama terlibat di dalam filem yang bakal ditayangkan bermula 15 Ogos depan itu termasuklah merqeen, Aidil Aziz, Aiman Hakim Redza, Tony Eusoff, Zain Hamid, Vanidah Imran, Erra Fazira, Nam Ron, Bell Ngasri, Amelia Henderson, Kavin Jay dan Douglas Lim.

Naskhah terbitan 4ward Pictures Sdn. Bhd arahan Datuk Afdlin Shauki ini mengangkat kisah pasukan bola sepak kebangsaan, ‘Harimau Malaya’ dan ia diinspirasikan daripada kisah di sebalik tabir Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Cheng Hoe meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan pada Januari 2022.
Published by
MH