Pemenang Anugerah Penyampai Radio Popular, Khairy Jamaluddin bakal memanfaatkan segala pengalamannya di konti radio jika diberikan peluang untuk kembali ke kancah politik satu hari nanti.
Menurut Khairy atau lebih mesra disapa KJ, setiap momennya bersama stesen radio Hot FM akan menjadi antara kenangan manis di dalam hidupnya.
“Terlalu banyak momen indah saya di dunia radio ini. Seperti ramai yang kata, saya sudah ‘rosak’. Namun, pengalaman ini akan menjadi kenangan indah bagi saya.
“Kalau saya kembali ke dunia lama saya satu hari nanti, ini pengalaman sangat berharga. Malah, saya mungkin boleh menjadi insan yang lebih baik dari segi pemahaman orang ramai,” katanya kepada MH.
Bekas Ahli Parlimen, Rembau itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Anugerah Bintang Popular ke-36 yang berlangsung di Dewan Auditorium MBSA, malam tadi.
Sementara itu, KJ turut memberikan bayangan bahawa dia bakal kembali ke ‘habitat’ asalnya iaitu bergelar ahli politik namun masanya masih belum diketahui.
“Dunia baharu ini, saya hanya akan singgah sekejap sahaja. Mungkin bila tiba waktu yang sesuai, saya akan kembali ke alam semulajadi saya.
“Bilakah waktunya? Saya tak tahu lagi. Ketika ini, saya sangat gembira dengan keadaan di sini,” ujarnya.
Ditanya sama ada ucapannya saat menerima anugerah mempunyai maksud tersirat, KJ mendedahkan ia hanyalah peringatan buat semua pihak.
“Saya hanya ingin sampaikan mesej kepada orang ramai. Kita kena percaya dengan perancangan Allah.
“Seperti kisah saya, pintu rezeki telah ditutup serta dikeluarkan daripada ‘kumpulan’ dan dunia asal saya. Namun, saya tidak menyalahkan sesiapa.
“Kenyataan itu tidak ditujukan kepada sesiapa. Seperti saya katakan tadi, kita buat yang terbaik dan biar Allah buat yang selebihnya.
“Alhamdulillah Dia telah buka pintu rezeki baharu buat saya. Saya tidak rasa kekok walaupun ada pihak yang mengejek. Saya bersyukur dapat peluang baharu ini,” kongsinya lagi.
Dalam pada itu, KJ turut merakamkan ucapan penghargaan buat semua warga kerja Hot FM dan TV3 yang banyak memberikannya tunjuk ajar untuk bergelar penyampai radio.
“Cabaran bergelar penyampai radio ini adalah untuk belajar perkara yang saya tidak tahu. Ia seperti hari pertama di sekolah. Saya tidak tahu apa-apa.
“Cara pembawakan dan penyampaian dalam dunia lama saya sangat berbeza. Saya terpaksa belajar dengan cepat.
“Sebab itu saya dedikasikan kemenangan ini kepada rakan-rakan saya di konti. Mereka guru saya. Kemenangan ini disebabkan guru yang baik,” akhirinya.
Terdahlu, kemenangan KJ itu sekali gus mengetepikan cabaran daripada empat penyampai radio lain iaitu Sharifah Shahirah, Haiza, Tyzo, dan DJ Sonic.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI