Komposer, penulis lirik dan penyanyi, Ed Sheeran menang kes saman akta hak cipta lagu Shape of You yang didakwa memplagiat lagu Oh Why nyanyian Sami Chokri atau nama pentasnya, Sami Switch.
Sami yang merupakan seorang artis muzik elektronik mendakwa yang cengkok bait lirik dan muzik ‘Oh I’ dalam lagu Shape of You sangat mirip dengan cengkok bait dan lirik ‘Oh Why’ di dalam lagu yang dihasilkannya bersama Ross O’Donoghue.
Komposer lagu Shape of You mengambil tindakan undang-undang pada 2018 selepas royalti lagu itu dibekukan apabila Sami dan Ross meminta Performing Rights Society (PRS) menambah mereka pada kredit sebagai penulis bersama.
Setelah hampir 4 tahun berlalu, kes ini akhirnya selesai apabila Mahkamah Tinggi memutuskan yang kedua-dua lagu tersebut tidak sama. Hakim, Anthony Zacaroli menyatakan Ed Sheeran tidak meniru secara sengaja mahupun di bawah sedar seperti yang didakwa Sami.
Sejurus kemenangan berpihak kepadanya, penyanyi berusia 31 tahun ini memuat naik sebuah video di Instagram. Menerusi video tersebut dia menyatakan perasaan lega dan juga kekecewaannya terhadap isu tersebut.
“Ia benar-benar merosakkan industri penulisan lagu. Terdapat begitu banyak nota dan sangat sedikit kord yang digunakan dalam muzik pop, kebetulan pasti akan berlaku jika 60,000 lagu dikeluarkan setiap hari di Spotify. Itu 22 juta lagu setahun dan hanya ada 12 nota yang tersedia,” ujarnya.
Menurutnya lagi, dakwaan seperti ini telah menjadi kebiasaan kerana ada sesetengah pihak berpendapat yang menyelesaikan kes di luar mahkamah adalah lebih murah berbanding membawanya ke muka pengadilan.
Lagu Shape of You merupakan lagu dengan jualan tertinggi pada tahun 2017 di UK dan merupakan lagu paling banyak distrim oleh pendengar di Spotify sehingga kini.
++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan