Pelakon Fizo Omar mendedahkan dia bakal menimang anak ketiga dan usia kandungan isterinya, Fazeera Nazri kini sudah memasuki bulan kelima.
Berkongsi khabar gembira itu menerusi Instagram miliknya, Fizo atau nama sebenar, Wan Hafizol Wan Omar, 38, memuat naik sebuah video memperlihatkan dia sedang memeriksa perut isterinya.
Fazeera secara berseloroh memberitahu perutnya berasa tidak selesa selepas Fizo melihat perut anaknya, Wan Khaleeda seperti kembung angin.
“Ayang (sayang), perut saya tak selesa jugalah,” kata Fazeera.
Mendengar rungutan manja isterinya, Fizo terus memeriksa perut wanita itu dan terkejut kerana berlaku pergerakan (menendang).
“Eh! Menendang. Ini tak ada ubat, kena tunggu sembilan bulan,” seloroh Fizo.
Menerusi video itu juga Fizo memaklumkan Khaleeda bakal menjadi ‘kak ngah’, manakala anak sulungnya hasil perkahwinan pertama bersama Mawar Karim, Wan Maryam akan mempunyai dua orang adik.
Fizo mendirikan rumah tangga dengan Fazeera yang merupakan bekas pramugari pada 21 Oktober 2021. Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Khaleeda yang kini berusia tujuh bulan.
Fizo sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013 namun bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat pada 10 Julai 2019.
Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Wan Maryam yang kini berusia enam tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.