“Eidrees Sangat Bertuah Memiliki Anzalna Sebagai Ibu Kerana…,” – Giliran Suami Pula Beri Reaksi

Share

Pelakon Anzalna Nasir menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana dikurniakan suami yang cukup bertanggungjawab dan sentiasa membantu dalam melakukan apa sahaja tugasan.

Jelasnya ketika ditemui pada majlis akikah Mohamad Eidrees di sebuah hotel baru-baru ini, suaminya Hanif Zaki tidak pernah lepas tangan dalam soal penjagaan anak.

Sebaliknya, dia juga positif dan sentiasa sedia membantu hatta bangun di tengah malam semata-mata mahu menyediakan susu anak.

“Hanif seorang bapa yang sangat bertanggungjawab, dia tidak pernah meninggalkan saya membuat tugasan seorang diri. Selalunya apabila waktu pagi, Eidrees nak susu dan lampinnya penuh, Hanif yang akan bantu uruskan.

Syukur kerana saya mendapat rezeki suami dan bapa yang sangat bagus kepada Eidrees,” jelasnya jujur.

Hanya tersenyum mendengar jawapan ikhlas yang keluar daripada mulut isteri, Hanif turut menyatakan Eidrees sangat bertuah memiliki Anzalna sebagai ibu.

“Eidrees sangat bertuah memiliki Anzalna sebagai ibu kerana dia memberikan segala-galanya. Saya sibuk bekerja dan Anzalna berkorban masa di rumah.

“Keutamaan sekarang bukan lagi diri kami, semuanya mengenai anak. Malah pakaian pun semuanya digunakan semula yang lama, jarang sangat membeli belah pakaian atau barangan baru untuk dirinya sendiri.

“Namun untuk Eidrees ada sahaja yang baru,” selorohnya.

Bersyukur dengan perkembangan Eidrees, jelas pelakon jelita ini akui dia turut menunda sementara kerjaya lakonan sementelah mahu menjaga sendiri si comel ini di depan mata.

“Perkembanga Eidrees sangat baik, dia seorang yang berdikari. Pandai makan sendiri, malah untuk mandi pun dia yang buka air sendiri (ketawa).

“Selalunya jika saya bekerja, saya akan minta keluarga tolong jagakan Eidrees kerana saya tidak percayakan orang luar. Dan ini pun rezeki saya kerana dapat menjaga anak sendiri.

“Untuk berlakon pun saya terpaksa tunda dulu kerana kasihankan anak. Malah untuk menghadiri majlis selama dua hingga tiga jam pun saya susah hati terpaksa berjauhan,” katanya lagi.

Berbalik kepada isu majlis akikah, walaupun kedengaran suara-suara nakal menyatakan ia satu pembaziran kerana diadakan cukup mewah, namun bagi pasangan ini, ia masih mengikut kemampuan mereka.

“Sebenarnya malam ini apa yang kami mahukan hanya keberkatan dan disebabkan itu kami menjemput keluarga, rakan terdekat, anak-anak yatim dan asnaf untuk sama-sama meraikan.

“Sebenarnya majlis ini mengikut kemampuan kami. Walaupun mereka kata ini pembaziran, namun ini rezeki Mohamad Eidrees dan dia satu-satunya anak kami. Saya tidak kisah berbelanja. Kami berkongsi rezeki bersama,” jelasnya.

Terdahulu, Anzalna meraikan majlis akikah anaknya, Mohamad Eidrees dalam suasana yang cukup mewah dihadiri keluarga, teman rapat, asnaf dan anak-anak yatim.

Pasangan ini telah berkenalan lebih 14 tahun dan mendirikan rumah tangga pada 21 Februari 2016 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamad Eidrees pada 31 Mei 2019.

Published by
Noraini Abd Wahab