Setelah sekian lama menyepi daripada dunia seni, pelakon Eja mendedahkan dirinya kini memberikan sepenuh perhatian terhadap keluarga dan perniagaan.

Menurut Eja, atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, kali terakhir dia terlibat dalam penggambaran drama adalah sekitar tahun 2015.

“Memasuki tahun 2025, sudah genap 10 tahun saya berehat. Saya kini hanya fokus kepada keluarga dan perniagaan.

“Baru-baru ini, saya telah membuka sebuah outlet di Taman Tun Dr Ismail yang diberi nama Eishal’s By Eja. Kami menjual beberapa produk seperti sambal,” katanya kepada MH.

Pelakon filem Anak Mami itu berkongsi perkara tersebut ketika ditemui di majlis pelancaran lagu Radar nyanyian Tunku Ines, baru-baru ini.

Ads

Masih Diingati

Walaupun telah lama menyepi, Eja mengakui dia bersyukur kerana namanya masih meniti di bibir peminat, malah karya-karyanya terus mendapat tempat di hati penonton hingga ke hari ini.

“Alhamdulillah, mereka masih mengingati apa yang saya buat dahulu terutama sekali menerusi drama dan filem lakonan saya. Seperti kita tahu, drama dan filem dahulu mempunyai skrip yang sangat bagus.

“Lakonan kita itu berjaya memberikan kesan dan diingati sehingga hari ini. Walaupun saya tidak mempunyai banyak drama atau filem, tetapi yang sedikit itulah masih diingati dan memberi impak.

“Malah, saya ada berjumpa dengan peminat, dia bagitahu, drama-drama saya masih lagi ditayangkan di musim perayaan ini,” ujarnya lagi.

Ads

Tawaran Ditolak Secara Baik

Dalam pada itu, Eja turut mendedahkan dia terpaksa menolak pelbagai tawaran drama dan filem atas kekangan masa dan komitmen terhadap keluarga serta perniagaan.

“Sepanjang 10 tahun ini, saya ada menerima banyak tawaran berlakon drama dan filem. Malah, saya juga ada menerima tawaran berlakon filem bersama Datuk Rosyam Nor dan Osman Ali.

“Tawaran untuk membintangi drama hari raya pun masih ada lagi. Kebanyakan watak yang diberikan kepada saya agak berat. Bila sudah berumur, kita sudah tidak larat lagi.

“Kesemuanya saya tolak dengan cara yang baik. Masa saya ketika ini sudah tidak macam dulu lagi. Anak masih bersekolah dan kena urus bisnes juga.

Ads

“Sekali-sekala adalah perasaan rindu tapi saya tak boleh berada lama di set lokasi,” katanya yang akui lebih selektif dalam pemilihan naskhah lakonan.

“Saya tak berani nak mengatakan bahawa saya sudah berhenti terus daripada industri seni. Sekiranya terjadi apa-apa, ia akan makan diri.

“Buat masa ini saya memang berehat tapi nampaknya sudah semakin berpanjangan. Kalau pelakon lain, mungkin orang sudah lupa.

“Saya ingin berterima kasih kepada para peminat di luar sana yang masih menyokong saya walaupun tiada drama atau filem. Saya bersyukur,” katanya lagi.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI