Penyanyi dan pelakon, Elizabeth Tan atau lebih mesra dengan panggilan Lizzy tidak dapat menahan kesedihan yang terbuku di hati apabila bintang cantik ini akhirnya mengalirkan air mata saat diajukan persoalan perihal kisah cintanya yang tidak kesampaian bersama seorang lelaki Melayu beberapa bulan lalu.
Tidak menafikan kisah cintanya itu merupakan antara punca kepada permasalahan lain yang melanda dirinya, Lizzy yang sebelum ini sinonim dengan lagu Knock Knock memberitahu Media Hiburan, dia turut mengalami masalah kemurungan atas apa yang berlaku.
“Banyaklah puncanya, tetapi bukan sebab cinta semata-mata. Tapi kerana pelbagai isu lain juga seperti percayaan, perhubungan, kerjaya, keluarga dan sebagainya. Saya sebenarnya bukanlah jenis yang suka tunjukkan emosi di depan orang, tapi hari ini saya percaya bahawa, kita tidak perlu rasa segan untuk kongsi apa yang terpendam pada orang lain,” katanya jujur.
Lizzy ditemui di pejabat Warner Music Malaysia, Petaling Jaya, bagi melancarkan single terbaharunya berjudul Darling.
Katanya lagi, sepanjang tempoh kemurungan itu, dia mengakui pernah terlintas untuk melakukan perkara di luar batasan kerana terlalu tertekan. Bagaimanapun, dia bertuah kerana mendapat sokongan dan semangat daripada keluarga dan sahabat untuk kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.
Pada masa sama, Lizzy turut terbuka untuk berkongsi kisah kemurungan dihidapi kerana merasakan ia adalah suatu hal serius.
“Saya tahu, tidak ramai yang mahu mengaku alami masalah tersebut. Begitu juga dengan saya pada mulanya. Namun saya sedar, perlu berkongsi mengenainya kerana setidak-tidaknya ia boleh elak daripada saya untuk buat benda-benda yang bodoh,”luah Lizzy lagi.
Berbalik kepada perkembangan seninya pula, Lizzy hanya mengambil masa kurang sejam untuk mencipta lirik dan melodi lagu Darling, iaitu ketika dia menaiki Uber. Jelasnya lagi, lagu tersebut turut menjadi runut bunyi kepada drama My Darling Inspektor Danial yang turut dilakonkan Lizzy.
Ditanya sama ada dia kini sudah pun menemui cinta baru, Lizzy hanya menggelengkan kepalanya sambil memberitahu, dia kini tidak punya siapa-siapa yang istimewa.
“Cukuplah untuk masa sekarang ni, biarlah saya fokus pada lakonan yang sudah pun menjadi keutamaan. Pengalaman lalu memang banyak mengajar,” akhiri Lizzy. Ikuti video temu bual kami bersamanya di FB Media Hiburan.