Penyanyi dan pelakon, Elliza Razak meluahkan rasa syukur apabila diberi kekuatan bertahan dan akhirnya berjaya keluar daripada perkahwinan yang dibina sejak 12 tahun lalu.
Mengakui sudah pun bercerai pada Februari lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Subang Bestari, Elliza, 40, juga mendakwa dirinya pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
“Saya cakap jujurlah ya, lama saya bertahan (dalam rumah tangga) 12 tahun. Nak dikatakan jadi mangsa keganasan (dalam rumah tangga) tu, tak adalah kerap tapi adalah.
“Cuma (perceraian) lebih kepada bab tanggungan keluarga atau nafkah selain soal kesihatan mental dan emosi.
“Punca saya mula melakukan proses permohonan cerai apabila dia cakap jangan sampai dia tak bagi saya jumpa anak-anak. Saya sudah penat sebenarnya,” katanya.
Elliza berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke-17 Suria FM, di Menara Star, Petaling Jaya, pada Jumaat.
Ibu kepada dua cahaya mata ini turut mendedahkan dua keping foto kesan lebam pada wajahnya dipercayai akibat dipukul dalam kejadian yang berlaku sebelum ini.
“Mungkin sebelum ini saya bodoh kerana tidak buat laporan polis. Saya juga fikirkan tentang anak-anak.
“Tetapi selepas bercerai saya ada buat cover report supaya dia tidak boleh mengganggu saya dan anak-anak.
“Dalam tempoh idah pun saya ada juga kena (dikasari). Ketika itulah anak kami nampak apa yang berlaku,” kata bekas peserta Akademi Fantasia musim ketiga ke-3 (AF3) ini lagi.
Elliza bagaimanapun mahu membina semangat baharu dan baginya ini masa terbaik untuknya kembali aktif dalam dunia seni selepas sekian lama mendiamkan diri.
“Sekarang ini saya cari semula apa yang buatkan saya gembira. Syukur dapat bertemu dengan orang tepat untuk menguruskan perjalanan kerjaya seni,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Elliza kini tampil dengan lagu berjudul Urai yang turut menjadi runut bunyi drama Akad Yang Terlindung untuk Akasia di TV3.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini