Hiburan

Elly Mazlein Bukan Hos GV11, Ini Katanya – “Biarlah Saya Memberi Ruang Kepada Tunjang Asal Yang Tiada Tandingan…”

Share

Sebelum pengumuman barisan peserta, juri dan hos Gegar Vaganza 11 (GV11) diumumkan minggu lalu, ada peminat yang meneka nama Elly Mazlein sebagai antara pengacara yang bakal mengendali program berkenaan.

Mengulas mengenai perkara itu, Elly yang mesra disapa Kak Lina Kepom berlapang dada dan akui memang ada tawaran.

Bagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya pengacara asal diberikan amanah untuk menjayakan program berkenaan.

“Memang betul ada proses memujuk dan saya menolak. Tak mengapa, biarlah saya memberi ruang kepada tunjang asal yang tiada tandingan bak kata pihak produksi.

“Biarlah mereka menjadi ‘DNA kekal’ di Gegar Vaganza dan saya pula mengacarakan program lain.

“Walaupun saya pernah mengacarakan GV9 dan mendapat sambutan yang sangat baik manakala GV10 pula separuh jalan, biarlah saya dengan kerja-kerja saya.

“Insya-Allah selepas ini, ada program saya yang lain. Saya pun akan mengadakan pertemuan dengan pihak Astro untuk projek tahun hadapan,” katanya kepada MH.

Elly berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media dan pelancaran program Explorasi Usahawan Wanita yang berlangsung di Wyndham Acmar Hotel, Klang pada Isnin.

Pada masa sama, penyanyi lagu Bungaku Bakawali ini turut menafikan dirinya sudah tawar hati dengan program Gegar Vaganza susulan kontroversi sebelum ini.

“Kalau merajuk, itu seperti kanak-kanak. Saya lebih kepada matang. Saya memilih untuk membiarkan pasangan sebenar GV bekerja dan bersatu dengan lebih selesa,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Elly mengakui perasaannya agak bercampur baur selepas melihat sokongan yang diberikan para peminat walaupun dia tidak mengacarakan program kesukaan ramai itu pada musim ini

“Saya sebenarnya sedih dan terharu. Kadang-kadang, saya rasa nak bercakap dengan peminat seorang-seorang. Bukan saya tak nak buat program ini, mungkin ini bukan rezeki saya.

“Saya juga memilih untuk melakukan perkara yang saya suka dan menjaga kesihatan mental. Itu lebih penting.

“Saya faham ada pihak yang suka dan tidak. Itu lumrah kehidupan. Yang tak suka, saya memang tolak jauh. Keutamaan saya adalah para peminat yang sentiasa menyokong,” kongsinya lagi.

Elly turut meminta semua pihak untuk terus memberikan sokongan buat GV11 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Kepada peminat rancangan nombor satu di Astro iaitu GV, saya doakan agar GV terus meletop. Kepada peminat saya, janganlah bersedih. Kita akan berjumpa di program yang lain.

“Saya akan cuba buat yang terbaik untuk mengisi kerinduan anda semua,” akhirinya.

Terdahulu, Elly bakal berkongsi pentas bersama dua penyanyi popular Indonesia Bunga Citra Lestari dan Ghea Indrawari di Konsert Farmasi Soundzation yang akan berlangsung di Megastar Arena, Kuala Lumpur pada 30 November depan.

Pada acara tersebut, Elly bakal bertindak selaku pengacara selain akan mempersembahkan beberapa buah lagu.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf