Elly Mazlein Hasrat Kongsi Wajah Kekasih Pada Malam Berinai, Bakal Jenguk Keluarga Lelaki Di Kelantan Mac Depan

Share

Wah, nampaknya penyanyi dan pelakon, Elly Mazlein mengakui sedang diulit bahagia dan rasa dihargai bersama teman baru.

Bagaimanapun, bintang yang cukup sinonim menerusi lagu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan ini masih belum bersedia untuk mendedahkan gerangan lelaki yang dimaksudkan, meski sudah memuat naik beberapa foto individu yang disertakan dengan emoji di media sosial.

“Saya akan dedahkan wajah kekasih apabila malam berinai nanti. Untuk majlis tersebut ia akan dilakukan secara tertutup yang hanya dihadiri ahli keluarga dan rakan terdekat sahaja.

“Cuma untuk nikah, mungkin akan jemput rakan media untuk raikan bersama. 

“Apapun, saya akan cuba untuk mengekalkan konsep kesederhanaan kerana itulah yang saya mahukan. InsyaAllah, doakan andai ada rezeki,” katanya kepada MH.

Masih belum bersedia berkongsi bila tarikhnya, Elly atau lebih mesra dengan sapaan Kak Lina memberitahu ia sebenarnya masih lagi awal untuk diperkatakan kerana apa yang dibicarakan hanyalah perancangan peribadi semata-mata.

“Masih terlalu awal lagi untuk dikongsi. Hal macam ni kerana ada perbincangan yang sewajarnya daripada semua pihak,” jelasnya sambil memaklumkan hubungannya bersama jejaka berkenaan masih lagi baru.

Ditanya mengenai hubungan mereka dengan lebih lanjut, Kak Lina mengakui sudah ada bertemu dengan beberapa ahli keluarganya teman barunya itu.

“Ada kami berjumpa, keluar makan dengan adik-beradiknya yang lain. Malah pihak saya juga ada merancang untuk ke Kelantan bagi bertemu dengan keluarganya di sana pula.

“Cuma sekarang saya hanya melakukan panggilan video bersama ibunya sahaja,” akuinya yang memilih bulan Mac memandangkan ia musim cuti sekolah.

“Tapi ke sana bukan merisik ya, sebab kalau merisik mestilah dilakukan di kediaman belah pihak perempuan,” seloroh Elly.

Menyifatkan diri begitu bertuah kerana mempunyai peminat yang setia dan menyayangi dirinya, Elly nyata terkejut dan gembira atas kejutan yang dilakukan.

“Tahun lalu kami tak dapat sambut bersama kerana saya ada show. Pernah sekali dulu saja kami sambut beramai-ramai. Jadi tahun ini memang tidak sangkalah akan ada kejutan.

“Terima kasih buat semua, malah ada juga yang sudi menaja. Masih lagi diri ini diingati dan rasanya, konsep yang sederhana tetapi meriah sebegini lebih baik. Sebab lebih intim, boleh ketawa dan boleh isi masa dengan lebih rapat. 

“Yang penting, kami kekal bersama sejak saya sertai Gegar Vaganza. Susah nak dapat peminat yang macam ni. Jadi bila sudah ada, rasa saya dihargai dan gembira,” akhiri Elly. 

Foto: Instagram Elly Mazlein

Published by
Rafiq Mazlan