Pelakon dan pengacara Big Stage Alpha 2025, Elly Mazlein, mendedahkan dia mempunyai sebab tersendiri untuk kekal tidak terlalu menayangkan wajah dua anaknya, Putri Sara Sefhia, 8, dan Haider Matten, 4, di media sosial.
Menurut Elly, keputusannya itu bertujuan untuk menjaga privasi dan membolehkan anak-anaknya menjalani kehidupan yang normal seperti kanak-kanak lain.
“Biarlah anak-anak membesar seperti orang biasa sebab saya tidak mahu mereka menjadi tumpuan. Saya ingin mereka (anak-anak) merasa hidup bebas. Tak naklah rasa mak dia artis atau selebriti.
“Alhamdulillah sampai hari ini anak-anak saya sangat selesa dengan kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui sejurus Sidang Media Big Stage Alpha di Kota Damansara, baru-baru ini.
Elly turut meluahkan rasa terharu apabila orang luar, khususnya peminat, turut memahami prinsip yang dipegang dan tidak mengganggu privasi keluarganya.
“Kalau saya bawa anak keluar, kebanyakan peminat sudah faham prinsip saya. Mungkin kerana mereka sudah lama mengikuti media sosial saya.
“Peminat menghormati, mereka memang tahu kalau saya muat naik foto anak-anak wajah akan ditutup dengan emoji.
“Jadi, kalau mereka mahu memuat naik foto bersama saya, mereka akan ‘blur’ wajah anak-anak saya,” jelasnya lagi.
Mengulas mengenai keputusan sesetengah rakan artis yang turut memilih untuk tidak mendedahkan wajah anak mereka secara keterlaluan di laman sosial, Elly menganggap ia sebagai hak individu.
“Apabila ada artis-artis lain membuat keputusan sama, mungkin itu terbaik untuk mereka. Teruskan.
“Tapi apa-apa pun hak masing-masing, ada sahaja artis dan orang biasa kongsikan anak mereka di media sosial.
“Namun bagi saya, saya gembira dengan keputusan yang dibuat untuk anak-anak,” katanya lagi.
Untuk rekod, Elly mendirikan rumah tangga bersama Muhammad Azlan Che Nuh pada Januari 2020 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Haider.
Sebelum itu, penyanyi lagu Bakawali ini pernah bertemu jodoh dengan pengarah Azmi Hatta pada 9 November 2014 namun berpisah pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkahwinan itu, mereka turut mempunyai seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini