Selesai menjalani prosedur mencuci rahim pada petang Selasa akibat keguguran anak kedua, pelakon Datin Elvina Mohamad akan berehat menjalani pantang selama dua minggu.
Menurut pengurusnya Nana, Elvina atau nama sebenarnya, Norazlina Mohamad, 27, akan berpantang di kediamannya dengan dibantu confinement lady yang menjaganya sepanjang tempoh tersebut.
“Elvina akan berehat dan berpantang di rumahnya selama dua minggu dan akan ada confinement lady yang akan membantu dan menjaga dia.
“Buat masa sekarang keadaan dia sedikit drowsy lepas jalani prosedur mencuci rahim sebentar tadi,” kata Nana ketika dihubungi Media Hiburan.
Elvina dilaporkan keguguran anak kedua ketika usia kandungannya baharu mencecah tiga bulan.
Perkara itu disedari Elvina kerana jantung bayi dalam kandungannya berhenti berdegup selepas melakukan pemeriksaan doktor minggu lalu.
Sebelum menjalani prosedur cuci rahim, Elvina juga sempat memuat naik foto di laman Instagramnya meminta agar urusannya dipermudahkan.
Elvina mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Mohd Haniff Borhan pada 8 Mac 2018 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Karl Mateen yang kini berusia tiga tahun.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Elvina Mohamad