Elyana memilih untuk tidak menyambung rawatan kemoterapi bagi merawat kanser Limfoma tahap empat yang dihadapinya sejak hampir sembilan tahun lalu.
Menerusi Harian Metro, Elyana atau nama sebenarnya Emeelya Elyana Emrizal menjelaskan, dia tidak lagi ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan kerana ingin memberi ruang kepada mereka yang lebih memerlukan lebih-lebih lagi dengan situasi semasa yang melanda ketika ini.
“Sekarang, negara kita sedang dilanda Covid-19. Jadi, saya rasa lebih ramai lagi orang yang memerlukan kemudahan di hospital berbanding saya.
“Lagi pula, saya sendiri sudah lama sakit dan dapat tahu situasi penyakit saya sekiranya ia teruk. Setakat ini, alhamdulillah,” katanya yang kali terakhir dirinya menjalani rawatan sekitar awal tahun lalu.
“Ketika itu, saya menjalani rawatan kecemasan iaitu radioterapi memandangkan kanser sudah menular dan memberi kesan buruk pada tulang serta saraf saya. Penularan itu menyebabkan saya hampir lumpuh.
“Selepas itu, doktor menyarankan saya supaya menjalani rawatan kemoterapi, tapi saya tak buat kerana banyak perkara yang saya fikirkan antaranya tanggungjawab saya dan juga anak-anak yang sedang membesar,” akui penyanyi Kalis Rindu ini lagi.
Diminta berkongsi mengenai ibadah puasanya tahun ini pula, ibu kepada seorang cahaya mata itu menzahirkan rasa syukur kerana semuanya berjalan lancar tanpa sebarang gangguan kesihatan.
“Alhamdulillah, ibadah puasa saya berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Tiada sebarang gangguan kesihatan berlaku kepada saya dalam tempoh ini,” terangnya yang turut menjana pendapatan dengan menjalankan perniagaan makanan secara dalam talian.
Terdahulu, Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Cinta Sumayah, yang kini mencecah usia 9 tahun.
Sumber/Foto: Harian Metro/Instagram Elyana