Setelah sekian lama mengambil pendekatan mengunci mulut, pelakon, Mira Filzah akhirnya mendedahkan bahawa majlis pernikahannya bersama pilihan hati, Wan Emir Astar Wan Mohammad Khair-il Anuar akan berlansung pada malam ini di Pusat Konvensyen Bukit Kiara.
Menurut laporan Berita Harian, majlis tersebut akan dipancarkan secara khas menerusi program Mbuzz siaran TV3 pada jam 9 malam selama 10 minit manakala acara penuh pula boleh disaksikan melalui saluran Youtube TV3 bermula jam 8.30 malam.
Mengimbau saat pertama kali bertemu, Mira meluahkan rasa syukur kerana segala hal yang dihajatkan seakan dipermudahkan.
“Jika hendak diterangkan apakah keistimewaan yang membuatkan hati saya terpaut kepadanya, sukar untuk dijelaskan. Namun, apa boleh saya katakan, dia lelaki yang baik.
“Sejak pertemuan pertama, saya selesa dan serasi dengannya,” katanya seperti yang dipetik.
Tambah pelakon drama Bidadari Kiriman Tuhan itu lagi, pertama kali dia dihubungi oleh Wan Emir adalah melalui kiriman direct message (DM) di Instagram namun dia tidak membalasnya kerana menganggap ia tidak lebih seperti peminat yang lain.
“Selepas gagal berhubung dengan saya, Emir tidak berputus asa apabila menghantar DM kepada emak.
“Saya tidak tahu apa yang Emir katakan pada emak. Tetapi emak beritahu, beliau kenal Allahyarham bapa Emir dan menceritakan mengenai latar belakang keluarganya kepada saya,” katanya.
Sementara itu, Mira turut mendedahkan bahawa hatinya sebenarnya sudah pun terpaut saat pertama kali bertemu dengan Wan Emir yang juga merupakan anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) iaitu Datin Mastura Mohd Yazid.
“Saya selesa dan okay mengatur pertemuan seterusnya. Selepas lima hingga enam kali berjumpa, saya beritahu emak mahu berkahwin dengan Emir, namun, dia masih belum melamar saya .
“Saya tidak tahu kenapa tetapi mungkin disebabkan gerak hati yang merasakan keputusan itu adalah tepat. Jadi, saya terus beritahu emak hasrat hati untuk berkahwin.
“Apabila saya beritahu Emir mengenai rancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya, dia juga sebenarnya ada hasrat sama.
“Tetapi dia bimbang jika saya anggap terburu-buru. Semua ini tidak akan terjadi tanpa restu emak dan ibu yang memudahkan lagi niat kami berdua,” jelasnya lagi.
Dalam perkembangan lain, difahamkan majlis resepsi kedua pasangan ini dijadualkan akan berlansung pada malam esok di Hotel di Le Meridien, Putrajaya yang turut bakal dipancarkan secara lansung di TV3.
Sebuah lagi majlis resepsi akan dilansungkan pula pada Ahad dan akan dibawakan secara lansung menerusi program Melodi.
Sumber: Berita Harian & Instagram hasifpictures
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI