Pelakon, Emma Akma menyifatkan kanser dalam perut dan cyst pada kiri serta kanan ovarinya merupakan satu ujian besar.
Apatah lagi, bintang berusia 52 ini pernah mendedahkan, dia memerlukan sekitar RM50,000 bagi menjalani pembedahan.
Bagaimanapun menurut pemilik nama lengkap Noorakma Yunus ini, dia bersyukur apabila jumlah sumbangan yang diperlukannya kini sudah mencecah lebih RM20,000.
Bantuan yang disalurkan menerusi akaun banknya itu semakin meningkat sejurus kisah penderitaannya mendapat liputan media, baru-baru ini. Malah, beberapa rakan selebriti dan produser turut sama tampil memberi bantuan.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang sudi menderma sehingga berjaya dapat RM20,000 dalam tempoh empat hari. Walau RM1 pun saya sangat-sangat hargai kerana ia mampu selamatkan nyawa saya.
“Ia sekali gus membuatkan saya lebih bersemangat untuk melawan kesakitan ini. Alhamdulillah, saya juga dapat panggilan daripada Institut Kanser Negara (IKN) untuk menjalani pemeriksaan pada Khamis ini.
“Dengan jumlah sumbangan yang ada sekarang, saya takkan menunggu lama dan terus melakukan pemeriksaan itu. Jika IKN boleh lakukan pembedahan itu, lagi saya bersyukur dan harap dapat dilakukan segera,” katanya.
Pelakon yang pernah muncul menerusi siri Gerak Khas ini juga mendedahkan, dia sedang kuatkan semangat kerana ketumbuhan dalam perutnya itu boleh pecah pada bila-bila masa sahaja.
“Sekarang saya cuma mahu fokus untuk segerakan pembedahan itu dengan wang sumbangan yang ada. Ini kerana kalau ditangguh, ketumbuhan itu boleh pecah bila-bila masa dan membawa maut.
“Kalau misalnya tiba-tiba saya pergi, suami dan keluarga saya boleh gunakannya untuk urusan bayaran hutang serta pengebumian. Saya mohon maaf dan minta halalkan sumbangan kalian semua itu.
“Saya tak tahu bagaimana hendak membalas jasa baik semua yang sudah menghulurkan bantuan. Saya cuma mahu doa kamu semua agar saya diselamatkan serta urusan pembedahan dipermudahkan,” katanya.
Terdahulu, Emma ditemui di kediamannya serentak dengan kunjungan dari wakil kumpulan artis veteran juga, Tukiman Radion dan Norlydiawati Shahibullah yang turut tampil menyumbangkan cek berjumlah RM1,050.
Terdahulu, Emma tampil merayu bantuan orang ramai selepas disahkan menghidap kanser perut serta ketumbuhan sebesar saiz bola sepak serta cyst pada kiri dan kanan ovarinya.
Dia mengakui buntu kerana pembedahan segera ketumbuhan itu perlukan kos sebanyak RM50,000.
Sementara itu, Emma masih berharap dapat mengumpul kos pembedahan yang diperlukan dan sumbangan boleh dibuat menerusi akaun bank Maybank 162209987311 (Noorakma Yunus).