Usahawan, Mawar Abdul Karim, mengakui emosinya terganggu berhubung dakwaan ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman bernilai RM720,000 daripada seorang rakan sekali gus berdepan dengan tindakan pengisytiharan bankrap.
Menurut Mawar, dia terkejut dengan dakwaan yang disebarkan di media sosial sekaligus tampil untuk membuat penjelasan.
“Pertama kali, tentunya emosi saya terganggu memandangkan orang sekeliling ada bertanya dan mempertikai selepas mereka dapat berita tersebut di media sosial.
“Saya tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak mereka. Sebagai usahawan, saya perlu memikirkan juga soal keselamatan anak dan keluarga. Begitu juga terhadap bisnes, pembekal dan reputasi perniagaan saya yang terjejas.
“Sebab bagi saya dalam berbisnes, kepercayaan itu penting. Apabila timbul isu begini, ia akan mengundang persoalan dan menjejaskan perniagaan saya selain mungkin ada yang beranggapan, saya tidak boleh dipercayai,” katanya.
Mawar pada masa sama turut menegaskan, dia tidak mempunyai sebarang hutang dan masalah kewangan termasuk tidak mengenali plaintif.
“Saya tiada hutang dan saya tidak mengenali plaintif. Setakat ini, saya tiada masalah kewangan. Saya sekali lagi menegaskan dakwaan itu tidak tepat dan tidak pernah berurusan dengan individu terbabit,” katanya lagi.
Tambah Mawar, dia juga tidak mengetahui apa niat sebenar individu terbabit sehingga wujudnya isu sedemikian.
“Saya pun tak pasti apa niat sebenar individu tersebut. Adakah ia punca daripada dengki atau cubaan mensabotaj saya dalam perniagaan,”katanya.
Dalam pada itu, Mawar yang diwakili Peguambela dan peguamcara daripada Zabir Imran and Partners, Datuk Mohd Imran Tamrin dan Tentuan Azali & Co, Mohd Azali Ibrahim memaklumkan, sesi pendengaran permohonan untuk penggantungan pelaksanaan penghakiman ingkar kehadiran di mahkamah Sesyen di Bandar Baru Bangi akan didengari esok.
“Buat masa ini, kami fokus kepada permohonan ini terlebih dahulu sehingga permohonan tersebut didengar dan diputuskan oleh mahkamah.
“Sama ada Mawar akan membuat tuntutan balas atau tidak selepas ini, kami masih dalam proses untuk memberikan nasihat dengan sewajarnya kepada pihak anak guam kami,” katanya.
Terdahulu, Mawar didakwa berdepan tindakan pengisytiharan bankrap susulan dakwaan dia ingkar perjanjian dan tidak membayar wang pinjaman berjumlah RM720,000 daripada seorang rakan.
Pada 13 April lalu, media melaporkan peguam Nik Zarith Nik Moustpha dari Tetuan Mohd Asyraf Nik Zarith & Co yang mewakili plaintif iaitu kenalan Mawar bernama Nabil Mat Jahya ketika dihubungi berkata, apa yang berlaku bukan fitnah.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.