Enggan Lafaz Cerai, Syamsul Yusof Sebenarnya Hanya Ikut Prosedur Mahkamah

Share

Pengarah sensasi, Syamsul Yusof menyerahkan segala penjelasan berhubungan keputusannya yang enggan melafazkan cerai terhadap isteri pertama yang juga merupakan pelakon, Puteri Sarah Liyana kepada peguam syarienya, Mohd Azmi Rais.

Menurut Syamsul, buat masa ini, dia hanya mengikuti segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak mahkamah.

“Saya tak mahu komen apa-apa. Kita ikut sahaja prosedur mahkamah,” katanya ringkas.

Menurut Mohd Azri, antara sebab mengapa Syamsul enggan melafazkan cerai adalah kerana keengganan Puteri Sarah untuk menarik balik tuntutan saman terhadap keluarga Ira Kazar.

Selain itu, permohonan untuk mengurangkan jumlah nafkah bagi dua anak mereka daripada pihak Syamsul juga tidak mendapat persetujuan Puteri Sarah.

Katanya lagi, Puteri Sarah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan yang dicapai sebelum ini menerusi satu pertemuan diantara kedua belah pihak.

“Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya Puteri Sarah masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.

“Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah tinggi yang tidak dapat dipersetujui oleh Syamsul. Bagaimanapun, kami ada mencadangkan beberapa terma lain, tetapi tidak dipersetujui.

“Jadi, dari segi penyelesaian tidak ada dan itu adalah punca kenapa kes ini masih berlanjutan,” katanya ditemui selepas prosiding cerai pasangan itu di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.

Pada prosiding terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan sensasi ini dijangka bakal berakhir apabila Syamsul setuju melafazkan talak terhadap isteri Puteri Sarah Liyana, hari ini.

Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di mahkamah sama pada 10 April lalu.

Mahkmah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.

Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.

Antara terma-terma penyelesaian yang dipersetujui ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf