Susulan kenyataan pelakon Aeril Zafrel yang mahu menjual kenderaan mewah, Lamborghini Aventador miliknya, terdapat dakwaan daripada seorang netizen mengatakan kereta tersebut hanya merupakan sewaaan semata-mata demi ‘content’ media sosial.
Menerusi laman Instagramnya, Aeril atau nama sebenarnya, Suhairil Sunari, 34, berkongsikan mesej (DM) yang diterima daripada seorang individu yang mendakwanya menipu tentang status sebenar kenderaan mewah berharga RM2.27 juta itu.
“Kalau betul sewa sembang macam beli hak milik kekal itu, itu menipu namanya.
“Bagi tahu sahaja jujur nak merasa bawa Ferrari jadi sewa sahaja mampu, InsyaAllah ada rezeki dapat beli. Mesti netizen salute dan doakan.
“Tengok kalau betul mereka sewa ramai je netizen doakan yang baik-baik apatah lagi kalau jujur mesti lagi orang adore. Kenapa perlu nak menipu demi content?” tulis individu berkenaan.
Aeril kemudiannya hanya membalas ringkas menerusi kapsyen dalam posting tersebut: “Entahlah, apa untungnya aku nak menipu.”
Bapa kepada empat cahaya mata itu merancang untuk menjual kenderaan berwarna kuning tersebut selepas sebulan dihadiahkan oleh isterinya, pelakon dan usahawan, Wawa Zainal.
Menurut Aeril, dia hanya mahu merasai pengalaman memandu Lamborghini Aventador dan setakat ini berpuas hati apabila sudah dapat melalui momen tersebut.
Sekadar informasi, Aeril mendirikan rumah tangga dengan Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin, 31, pada 2013.
Hasil perkahwinan, pasangan tersebut dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 9, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 7, Ayya Soffya, 3, dan Muhammad Fahri yang kini berusia enam bulan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.
Foto: Instagram Aeril Zafrel