“Epidural Tak Menjadi, ‘Laughing Gas’ Pun Tak Berkesan,” – Masih Trauma Dengan Rasa Sakit, Juliana Evans Kuatkan Mental Sambut Anak Kedua

Share

Bakal melahirkan cahaya mata kedua pada awal bulan Julai, pelakon jelita, Che Puan Juliana Evans akui masih trauma dengan rasa sakit yang dilaluinya sewaktu melahirkan anak pertama.

Menurut Juliana, dia sendiri tidak menyangka suntikan epidural yang diambil untuk mengurangkan rasa sakit tidak berkesan buat dirinya.

“Kali ini, saya seperti terlebih risau dan banyak berfikir. Saya masih lagi trauma dengan proses kelahiran anak pertama. Suntikan epidural itu tak menjadi buat saya.

“Pada waktu itu, saya hanya menjangkakan perkara yang indah-indah sahaja. Saya langsung tak fikirkan rasa sakit yang bakal saya lalui kerana saya betul-betul mengharapkan suntikan epidural itu berkesan.

“Rupanya, hal sebaliknya berlaku. Saya rasa sakit sehingga badan saya terkejut. Saya tak sangka yang saya akan merasai rasa sakit seperti itu di dunia ini. Rasanya seperti setengah mati. Saya ada ambil ‘laughing gas’ tapi tak berkesan juga,” katanya kepada MH.

Lantaran itu, Juliana memaklumkan dirinya sudah belajar daripada pengalaman lalu dan kini dia sudah bersedia untuk menyambut kelahiran anak kedua.

“Saya sudah mempersiapkan mental saya dan saya juga sudah bersedia dengan apa sahaja yang bakal berlaku. Hal ini tak berlaku ketika kehamilan anak pertama.

“Saya juga banyak baca mengenai pengalaman ibu-ibu yang lain. Rupanya banyak juga yang melalui pengalaman seperti saya. Saya berharap sangat yang saya tahu perkara ini lebih awal.

“Suami saya juga sangat menyokong dari segi mental dan dia juga banyak berikan kata-kata semangat,” ujarnya lagi.

Pelakon filem Kami The Movie itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis santai bersama pihak media dan rakan terdekat yang berlangsung di Double Three Hotel, Shah Alam pada Rabu.

Katanya lagi, alahan yang terpaksa dilaluinya juga amat berbeza jika ingin dibandingkan dengan kehamilan anak pertama.

“Sewaktu trimester pertama, keadaan saya agak teruk. Saya ada alami alahan dan susah nak makan. Saya juga agak tertekan dan sering berasa sedih.

“Saya perlu makan untuk kesihatan diri dan bayi tapi bila makan, saya muntah. Selepas muntah, saya rasa sakit sehingga susah nak tidur. Namun, segalanya kembali normal selepas memasuki trimester kedua,” kongsinya lagi.

Sementara itu, Juliana juga akui teruja bakal dikurniakan anak perempuan yang bakal menjadi peneman buat anak sulungnya.

“Saya gembira bakal dikurniakan anak perempuan lagi. Saya mahu anak saya ada adik-beradik perempuan. Saya seorang sahaja perempuan dalam adik- beradik jadi, saya tahu perasaannya bagaimana.

“Ia agak sunyi dan saya suka bila tengok adik-beradik perempuan bersama. Jadi, anak-anak saya nanti boleh jadi kawan baik.

“Mungkin dikehamilan seterusnya nanti, kami akan dikurniakan cahaya mata lelaki. InsyaAllah,” akhirinya.

Sekadar informasi, Juliana telah mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati Yang Amat Mulia Tengku Shariffuddin Shah pada April 2017.

Pasangan itu dikurniakan seorang anak perempuan bernama tengku Kamaliah Zanariah Josephine Ehsan Shah yang kini berusia empat tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf