Ernie Zakri Hilang Suara Pagi Sebelum Konsert; “Memang Tiada Plan B, Yang Saya Tahu…”

Share

Walaupun berdepan dengan masalah kesihatan melibatkan vokalnya, namun persembahan penyanyi Ernie Zakri dalam Konsert Satu Suara Vol. 3 wajar diberi pujian.

Mendapat gemuruh daripada penonton, Ernie atau nama sebenar, Nur Ernie Shahirah Zakri, 31, menceritakan pagi sebelum konsert berlangsung dia kehilangan suara sehingga menyebabkan dia terpaksa mengambil suntikan antibiotik untuk ‘menyelamatkan’ keadaan.

“Saya kehilangan suara pada pagi sebelum konsert berlangsung. Hal itu juga menyebabkan saya tidak datang ke sesi latihan kerana percaya jika paksa diri, saya mesti tidak boleh membuat persembahan pada malam hari.

“Jadi saya bertemu doktor dan diberikan suntikan antibiotik untuk memastikan saya sihat dan boleh bekerja.

“Saya memang tiada plan B. Yang saya tahu, saya tetap kena menyanyi tadi. Jadi, suamilah jadi runner pergi beli ssemua ubat yang disarankan Abang Jay Jay dan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

“Ini merupakan kali kedua saya hilang suara sepanjang kerjaya. Saya percaya ini kerana faktor kurang rehat dan penat,” katanya kepada MH.

Menerusi konsert amal yang bertujuan mengumpul dana untuk Yayasan Nurjiwa itu, Ernie bergandingan dengan vokalis kumpulan Carefree, Jay Jay serta Siti Nurhaliza.

Konsert Satu Suara Vol. 3 berjaya menghiburkan seramai 4,000 penonton yang memenuhi segenap ruang Mega Star Arena, Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Antara seleksi lagu yang dinyanyikan Ernie pada malam tersebut ialah seperti Boneka, Ku Bersuara dan Korban.

Ernie turut berduet dengan Siti Nurhaliza menerusi ‘mash up’ lagu Gundah dan Wajah Kekasih yang digubah khas oleh pengarah muzik konsert tersebut, Aubrey Suwito.

Konsert Satu Suara Vol. 3 merupakan anjuran Yayasan Nurjiwa dan Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara, jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Juliana Johar