“Lapan tahun kita beraya bersama.” Itu kata Nabil Ahmad sejurus ditanya Neelofa mengenai selama mana mereka menyambut lebaran bersama di set MeleTOP sebelum ini.
Neelofa yang diundang bersama suaminya, Haris Ismail atau PU Riz di program berkenaan pada Selasa membuat kejutan dengan beriringan bersama Nabil Ahmad memulakan segmen pengenalan.
“Hari ini rasa seronok sangat, rasa macam inilah raya yang saya nanti-nantikan. Dapat bersama-sama dengan Lofa, atas stage MeleTOP. MasyaAllah,” kata Nabil.
Mereka antara lain turut berkongsi situasi masing-masing mengenai kisah ‘raja mengejut’ sebelum memperkenalkan rakan hos, Elly Mazlein.
Meninjau ke ruangan komen menerusi potongan video berkenaan di YouTube MeleTOP, rata-rata penonton memberikan reaksi positif.
Malah tidak kurang yang merindui gandingan serasi keduanya pada program hiburan mingguan tersebut.
“Sayu pulak kan. Excited tengok depa dua. Lama tak tengok macam ni,” komen peminat.
“Dua-dua dah hijrah, subhanallah. Hebat,” puji peminat lainnya.
“Tak ada ganti. Walaupun pengganti tak sama. Apa pun semoga semua sihat, berbahagia ke jannah,” coret peminat.
“Rindunya nak tengok Lofa dan Nabil kembali,” antara komen yang tertera.
Terdahulu, Neelofa yang kini sudah memiliki seorang cahaya mata membuat pengumuman berundur dari MeleTOP pada Disember 2019 selepas tujuh tahun mengendalikan program bual bicara infotainment terbitan Astro itu bersama Nabil Ahmad.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: YouTube MeleTOP