Pengacara dan penyampai radio terkenal, Faizal Ismail manafikan dirinya sudah berkahwin lain ketika menunaikan umrah di Tanah Suci, Mekah pada tahun 2022 seperti yang didakwa oleh seorang individu yang mengaku sebagai saksi.
Menurut Faizal, dakwaan tersebut merupakan fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan air mukanya.
“Apa yang boleh saya katakan, perkara itu tidak benar. Saya difitnah dan individu terbabit mempunyai niat nak menjatuhkan saya,” katanya kepada MH.
Memurut Faizal lagi, pada ketika itu, dia sedang menunaikan ibadah umrah diatas kapasiti sebagai duta bagi sebuah agensi pakej umrah.
Bagaimanapun, syarikat tersebut dikatakan sedang mengalami beberapa masalah untuk menguruskan para jemaah pada waktu itu.
Katanya lagi, disebabkan hal tersebut, dia turut terkena tempiasnya
“Sebenarnya, pada ketika itu, saya bersama dengan seorang ustaz dan memang ada berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini melibatkan pakej umrah.
“Syarikat itu juga sebenarnya sedang bermasalah pada ketika itu. Saya juga mengalami tekanan kerana ada pihak yang menggunakan cara tertentu untuk untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
“Disebabkan hal itu juga, hubungan saya dengan pihak agensi pelancongan menjadi renggang,” kongsinya lagi.
Penyampai radio, Zayyan itu berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Makan Malam Kesadaran Amal Al-Muqwa yang berlangsung di Restoran Seri Kunyit, Kuala Lumpur pada Selasa.
Ditanya adakah dia bakal mengambil tindakan undang-undang, Faizal memaklumkan dirinya enggan mengeruhkan lagi keadaan.
“Tidak. Dia sendiri pun dalam masalah. Jadi, jangan tambahkan lagi. Ketika itu, hubungan kami agak renggang.
“Saya banyak salahkan dia sebab jemaah banyak tumpukan masalah mereka kepada saya.
“Jadi, ketika itu, dia pun mungkin dalam tekanan. Jadi, dia kena buat satu cerita,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, Faizal mendedahkan keharmonian rumah tangganya tidak terjejas disebabkan khabar angin tersebut.
“Isteri saya okay sahaja. Kalau hal melibatkan poligami ini, isteri saya tiada masalah dan tidak menolak sepenuhnya.
“Malah, kalau benar saya nak berkahwin lain atau berpoligami, saya akan berterus terang dengan dia,” kongsinya lagi.
Pada masa sama, Faizal akui tidak berani untuk mengulas sama ada dia bakal berpoligami pada masa akan datang kerana segalanya merupakan kententuan Illahi.
“Saya tak boleh ulas hal itu sekarang tapi akan datang, kita sendiri tak tahu kerana kita hanya manusia. Ada yang kata, orang yang banyak bercakap ni, mereka tak berani buat.
“Namun, mereka yang senyap tu, tiba-tiba mereka yang berkahwin,” akhirinya.
Terdahulu, Faizal bakal bergandingan bersama penyanyi, Mawi untul mengacarakan Majlis Makan Malam Kesadaran Amal Al-Muqwa yang bakal berlangsung pada 17 Februari ini.
Majlis makan malam ini juga diadakan bagi mengumpul dana bagi menampung kos operasi pusat tahfiz, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim, Faqir, Miskin & Dhuafa’ Madrasah ‘Ulumulquran Wal Ahadith.
Konsert ini bakal menampilkan barisan selebriti Datuk Awie, Ali XPDC, Ijam Medicine, Adi WOW dan Anjang Terrarossa.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.