Pengacara Fara Hanim Razak membuat permohonan maaf kepada dua jirannya yang juga pelakon, Rita Rudaini serta penyanyi Lufya Omar selepas kisah mengenai dua selebriti berkenaan yang didakwa anti-vaksin mencetuskan tular.
Ibu kepada dua cahaya mata yang mesra disapa Anim itu tampil menyatakan rasa kesal itu menerusi hantarannya di Instagram.
“Selepas bermuhasabah dan merenung segala kekurangan dan kelemahan diri, Anim menerima dengan terbuka teguran-teguran ramai berkenaan isu membabitkan Anim sebelum ini.
“Anim sedar apa yang Nabi junjungan besar kita berpesan, ‘Setiap anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Riwayat Ibn Majah).
“Atas pesan Nabi kita, InshaAllah Anim menginsafi kelemahan dan akan baiki diri Anim untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik,” tulisnya.
Anim pada masa sama turut mendedahkan dia sudah menghubungi kedua-dua selebriti berkenaan untuk memohon maaf.
“Anim baru sahaja menghubungi pihak terbabit untuk memohon maaf dan di sini juga Anim ingin memohon maaf secara terbuka.
“Hasrat Anim hanya satu iaitu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati menentang ancaman virus Covid-19.
“Sesungguhnya kita belum menang, tapi kita boleh menang bila hati kita bersatu bersama berjuang dengan penuh sabar. Sekali lagi, Anim mohon maaf. Terima kasih semua,” tulisnya.
Anim memuat naik dua hantaran bersama mesej permohonan maaf yang dihantar kepada kedua-dua selebriti itu.
Terdahulu, ciapan Anim di Twitter yang berkongsi cerita mengenai jirannya yang didakwa sebagai anti-vaksin diperkatakan ramai hingga memberikan reaksi pelbagai di kalangan warganet.
Meski tidak memperincikan nama jiran sebagaimana yang didakwa, namun Anim memperkenalkan mereka sebagai RR dan LL.
Perkara tersebut sekali gus mengundang komen netizen yang masing-masing meneka mengenai ‘klu’ yang diberikan Anim.