“Fara Suruh Pecahkan Tingkap, Tak Fikir Apa Dah,” – Pintu Terkunci Sendiri, Fara Hazel Berdepan Detik Cemas Sebab Anak Dalam Kereta

Share

Penyanyi dan pelakon, Fara Hazel berdepan detik cemas selepas anak lelakinya, Tengku Muhammad Aisy Al-Abidin Petra dilaporkan telah terperangkap di dalam kereta yang terkunci selepas melakukan aktiviti riadah di sebuah kawasan rekreasi di Terengganu.

Menurut Fara, pintu keretanya itu dikhabarkan telah terkunci secara automatik saat dia selesai meletakkan anaknya itu di kerusi penumpang.

Katanya lagi, dia terpaksa meminta pertolongan daripada orang di sekeliling untuk memecahkan tingkap keretanya itu.

“Allahuakbar! Dugaan betul hari ni. Korang tahu tak harini Fara diuji. Farah bawa Aisy jalan-jalan dekat Lagoon, Kuala Ibai. Masa nak balik, nak letak Aisy dekat seat dia, Fara dah siap lock dia Fara nak masuk kereta, kereta terkunci dari dalam.

“Allahuakbar tak tahu nak cakap macam mana nervous dia. Nasib Aisy tak nangis. Fara risau dia lemas sebab enjin kereta tak start lagi.

“Fara tak fikir malu dah tadi. Terus jerit panggil orang tolong. Terima kasih sangat-sangat pada pakcik, abang-abang dan kakak yang membantu tadi. Fara suruh je dia pecah tingkap takda fikir apa dah,” tulisnya.

Kisah tersebut dikongsikan sendiri oleh penyanyi lagu, Setiaku Pasti ini menerusi beberapa hantaran yang dimuat naik di ruangan Instagram Stories.

Fara akhirnya mampu menarik nafas lega selepas anaknya itu berjaya dikeluarkan dengan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Adik kepada penyanyi, Aiman Tino ini turut mengakui insiden tersebut ternyata memberikan kesan yang sangat mendalam di dalam kehidupannya ketika ini.

“Guys, dengan apa yang terjadi dekat Fara hari ni beri kesan yang sangat dalam pada Fara. Fara cuba buat yang terbaik untuk Aisy tapi still gagal. Allah uji Fara.

“Tapi tak mengapa, Fara ambil semua ni sebagai peringatan pada diri Fara untuk lebih peka. Alhamdulillah Allah masih melindungi kami,” kongsinya lagi.

Dikesempatan itu juga, Fara turut menyerukan kepada para ibu untuk sentiasa peka lebih-lebih lagi bila melibatkan soal keselamatan anak-anak.

“Kepada korang yang ada anak tolong guys. Kalau nak bawa anak berdua make sure korang lebih peka. Jangan tinggal kunci dalam kereta. Make sure ada di tangan.

“Itulah kesilapan Fara. Please ibu bapa di luar sana jangan sebab kelalaian kita anak jadi mangsa,” ujarnya lagi.

Sekadar informasi, Fara telah pun mendirikan rumah tangga dengan seorang ahli perniagaan dari Terengganu, Tengku Mohammad Kamal Hishamuddin pada 2019.

Hasil perkongsian hidup tersebut pasangan ini dikurniakan cahaya mata sulung pada tanggal 18 Oktober 2020.

Sumber: Instagram Fara Hazel

Published by
Aizam Manaf