Tahniah diucapkan kepada penyanyi dan pelakon, Zulin Aziz,33, yang telah selamat mengikat tali pertunangan dengan lelaki pilihannya, Farhan Norzaini, 35, kira-kira 9.00 malam pada Jumaat.
Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana selain dihadiri m keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman abang bintang berkenaan di Segambut Dalam, Kuala Lumpur.
Pada majlis berkenaan, Zulin Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz, menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang) daripada tunangnya.
“Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Sebenarnya sudah lama kami merancang, akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.
“Majlis pada malam ini juga diadakan serba ringkas. Malah atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP),” katanya.
Ditanya mengenai Farhan yang berjaya memenangi hatinya sehingga terbuka hati untuk memilih lelaki itu sebagai teman sehidup semati, Zulin percaya Farhan mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.
“Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya,” katanya.
Sementara itu, Farhan menyifatkan Zulin sebagai seorang yang ikhlas selain pandai mengambil hati keluarganya.
“Dia berada bersama saya di saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.
“Di situ saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya. Dan Zulin ada ciri-ciri itu,” kongsinya.
Menyingkap momen saat pertama kali mereka berkenalan, Farhan akui dia terlebih dulu memberanikan diri menghantar mesej kepada Zulin menerusi Instagram (IG) selepas menonton rancangan Melodi di TV3.
“Waktu itu saya sedang menonton rancangan Melodi bersama arwah ibu. Kebetulan ada paparan cerita Zulin tak jadi kahwin. Lepas tu arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Malah tak semena mena, arwah ibu tiba-tiba cakap tak kisah andai Zulin menjadi menantunya.
“Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin di IG. Saya memberanikan diri dan tak sangka dia membalas mesej. Masa itu saya fikir tak mungkin Zulin membalas mesej itu kerana saya hanya orang biasa di antara jutaan pengikutnya yang lain,” kata Farhan.
Pasangan ini menetapkan tempoh kurang dari sebulan untuk ikatan pertunangan dan merancang untuk berkahwin pada 20 Februari 2022.
Pasangan sama cantik sama padan itu saling rapat sejak dua tahun lalu selain menjadi rakan kongsi perniagaan.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Ihsan Kahnz Photograffiti/Jimmy Kamarudin