Kalau anda seorang yang gemar menonton rangkaian siri filem Pitch Perfect pastinya anda akan ingat penampilan Rebel Wilson di dalam filem tersebut sebagai Fat Amy. Digelar sebegitu kerana bentuk tubuhnya, watak tersebut menjadi antara karakter yang menyerlah dan diingati ramai.
Sejak menceburkan diri dalam dunia seni, pelakon, pelawak dan pengacara ini memang yakin dengan bentuk tubuhnya yang gempal. Namun begitu, semua orang boleh berubah. Pada tahun 2020, bintang kelahiran Australia ini telah berkongsi yang tahun tersebut merupakan tahun kesihatan untuknya bagi mencipta gaya hidup yang lebih sihat.
Oleh itu dia telah mengamalkan diet dan juga senaman bagi mengurangkan berat badan dan penampilannya yang tampil kurus mengejutkan ramai pihak! But in a good way. Menerusi perkongsian gambar-gambar di Instagram dia tampil lebih yakin dan juga mencipta persona baharu dengan gaya fesyen yang lebih pelbagai.
Baru-baru ini dia tampil menawan dan elegan di acara karpet merah Academy Museum of Motion Pictures and Vanity Fair bertempat di Los Angeles, Amerika Syarikat. Menggayakan gaun pendek berlengan panjang dengan perincian ala tuksedo dalam fabrik berkilau rekaan CDGNy by CD Greene, busana tersebut jelas menyerlahkan sisi kemewahan dan dalam masa yang sama memberi penegasan terhadap bentuk tubuhnya yang semakin ramping.
Penampilan keseluruhan yang dipadankan dengan stoking net bersama kasut tumit tinggi berkilau memberikan penegasan gaya ‘old Hollywood glamour’ dan rambut dirapi gaya sanggul longgar melengkapkan gaya keseluruhannya.
Khabar terbaru tentang bintang ini, dia baru sahaja selesai penggambaran filem bukan komedi pertamanya bertajuk The Almknd and The Seahorse dan juga sebuah lagi filem lain bertajuk Senior Year. Selain itu dia juga kini merupakan seorang penulis buku kanak-kanak.
Sumber: Instagram Rebel Wilson, Yahoo News