Hiburan

“Fattah Amin Sebaik-Baik Manusia,” – Fazura Tak Pernah Canang Hal Keluarga, DJ Sonic Terkejut Bila Isu Cerai Tersebar

Share

Pengacara dan penyampai radio, DJ Sonic menyifatkan pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin memiliki keperibadian yang sangat baik dan langsung tidak akan bercakap buruk mengenai satu sama lain kepada orang luar.

Menurut Sonic atau nama sebenarnya, Awang Suffian Awang Hussein, sebagai individu yang sering bekerja bersama Fazura, dia akui terkejut apabila pasangan tersebut memutuskan untuk memfailkan penceraian.

“Apa yang saya letak dalam InstaStory baru-baru ini adalah ikhlas dari hati. Saya rapat dengan Fazura, Fattah dan keluarga mereka sebab sepupu saya berkahwin dengan abang Fazura.

“Beberapa hari sebelum kisah mereka tular, saya ada keluar bersama Fazura. Dengan nama Allah, Fazura tidak pernah bercerita tentang rumah tangganya dengan saya.

“Saya sebenarnya tak mahu campur dalam hal perkahwinan mereka cuma mengharapkan yang baik-baik serta segala urusan mereka dipermudahkan,” katanya kepada MH.

Katanya lagi, pasangan ini sememangnya sangat disenangi ramai kerana sering memberikan aura positif.

“Fazura adalah individu yang selalu beri aura positif kepada kita. Dia tidak meluah dan tak bercerita buruk tentang Fattah sebaliknya berkongsi suaminya itu adalah lelaki yang baik sebagai seorang ayah.

“Keluarga Fattah dan Fazura juga sangat rapat sebenarnya. Jadi, apa yang belaku sekarang ini, kita doakan terbaik.

“Fattah adalah sebaik-baik manusia, Fazura juga begitu cuma saya tak boleh sentuh tentang apa yang berlaku sekarang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penyampai radio Nasional FM itu turut mendedahkan hantarannya mengenai Fazura baru-baru ini telah mendapat kecaman ramai kerana dikatakan hanya bercerita dan menyebelahi satu pihak sahaja.

Katanya lagi, Fazura juga tidak memberi sebarang respons mengenai perkongsian tersebut sebaliknya hanya menghantar emoji menangis kepadanya.

“Saya memang kena hentam dengan netizen kerana penulisan saya hanya berkaitan Fazura sedangkan saya tak sentuh pun hal rumah tangga mereka.

“Saya hanya bercakap tentang keperibadian, itu sahaja. Tak sangka menjadi sesuatu yang kontroversi pula.

“Fazura hanya hantar emoji menangis kepada saya sebab dia tahu apa yang saya tulis adalah mengenai susah senang kami bersama dan dia pun tidak beri sebarang komen mengenainya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sonic akui banyak terhutang budi dengan Fazura lebih-lebih lagi sewaktu di mula menjejakkan kaki di Kuala Lumpur.

“Untuk makluman semua, saya bukanlah daripada keluarga yang senang. Bila pertama kali sampai ke Kuala Lumpur, Fazura lah yang banyak berkongsi rezeki dengan saya.

“Setiap bulan, saya tiada masalah untuk beri wang kepada keluarga saya di kampung disebabkan Fazura,” akhirinya.

Sebelum ini, nama Sonic menarik perhatian ramai apabila memuat naik hantaran mengenai keperibadian Fazura sepanjang perkenalan mereka.

Terdahulu, Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, mengejutkan ramai apabila memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pada 13 September lalu.

Difahamkan permohonan tersebut dibuat mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Fazura dan Fattah yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan di sini.

Published by
Aizam Manaf