Pelakon Fattah Amin memilih pendekatan untuk berkampung di set penggambaran selama sebulan tanpa pulang ke rumah demi menjawai watak untuk filem terbaharunya, Kulit Wayang.
Menurut Fattah, dia mengambil masa selama sebulan itu untuk belajar mengenai dialek Pantai Timur dan berjumpa dengan Tok Dalang sebenar untuk memahami seni wayang kulit.
“Sebelum memulakan penggambaran, saya sudah jangka dialek ‘Pantai Timur’ ini akan menjadi cabaran terbesar. Filem ini pula mengisahkan mengenai Tok Dalang.
“Saya pula bukan orang Kelantan. Namun, saya sudah buat persediaan daripada awal dan dibantu oleh jurulatih dialek. Bahasa wayang kulit ini juga berbeza.
“Saya buat persediaan untuk memahami dialog selama tiga bulan. Ada sebulan penuh yang saya tidak pulang ke rumah demi memberikan fokus terhadap watak.
“Ketika itu, saya berjumpa dengan ramai Tok Dalang dan orang-orang di sana. Imbas semula setahun yang lepas, saya sangat stress sebab nak buat yang terbaik. Sepanjang sebulan itu juga saya tak menonton TV,” katanya kepada MH.
Fattah berkata sedemikian ketika ditemui majlis sidang media Kulit Wayang Cultural Festival, baru-baru ini.
Pada masa sama, bapa kepada seorang cahaya mata ini akui teruja kerana berpeluang bekerjasama dengan pengarah tersohor Dain Said.
“Saya terima tawaran ini kerana Dain Said. Beliau merupakan pengarah yang berada di top list saya untuk bekerjasama. Beliau juga merupakan pemenang anugerah dan saya nak rasa bekerja di bawah arahan beliau.
“Bila bekerjasama dengan orang-orang yang terbaik dalam bidang masing-masing, sudah tentu kita juga nak jadi yang terbaik.
“Saya nervous berlakon di bawah arahan Dain Said. Mereka yang biasa bekerja dengan Dain Said adalah pelakon-pelakon yang hebat. Dia pun tak mudah nak memilih pelakon.
“Apa yang seronok bekerja bersama Dain, dia bagi peluang untuk para pelakon faham watak yang ingin disampaikan,” ujarnya.
Pada masa sama, Fattah turut meyifatkan Kulit Wayang ini merupakan filem paling mencabar dan memerlukan komitmen kerja yang sangat tinggi.
“Ketika berlakon Pendekar Awang, saya ada asas dalam persilatan. Untuk filem ini, saya langsung tiada pengalaman. Ini adalah watak yang paling susah.
“Kalau anda temu ramah kami selepas habis penggambaran, anda akan nampak roh watak itu,” akhirinya.
Kulit Wayang bakal ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 1 Mei ini.
Selain Fattah, filem seram triler ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Pekin Ibrahim, Jenna Kamaratih, Reynavenzka Deyandra dan Amanda Ang.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik disini