Selesa dikenali sebagai penyanyi lagu kerohanian, Fattah Amin akui dia kini lebih suka mendengar lagu-lagu bergenre sedemikian bagi memberikan ketenangan dalam menjalani kehidupan.
Menurut Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin, 32, dia dan isteri, aktres Nur Fazura juga turut sama berkongsi minat sama.
Malah, setiap kali dalam perjalanan ke pejabat, pasangan sejoli ini akan memasang playlist lagu-lagu kerohanian misalnya daripada Opick dan Lah Ahmad.
“Buat masa ini saya mahu dikenali sebagai penyanyi lagu kerohanian di samping masih lagi aktif berlakon.
“Bila kita dengar lagu-lagu kerohanian, ia akan membuatkan kita berasa lebih tenang dan ia satu terapi untuk halwa telinga kita.
“Kita kan sibuk dengan kerja, pergi ke sana ke sini, bila kita dengar lagu-lagu macam ini, kita (sentiasa) beringatlah orang cakap.
“Macam saya dan Faz kalau kami dalam perjalanan pergi ke pejabat, memang kami akan dengar lagu-lagu sebegitu.
“Antara yang ada dalam playlist kami, lagu-lagu daripada Opick, Lah Ahmad dan kumpulan Dewa,” katanya kepada MH.
Bintang filem Mat Kilau ini ditemui pada majlis pelancaran muzik video (MV) lagu terbaharunya, di Padamu yang di pejabat Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada Rabu.
Padamu lagu ciptaan komposer Ikhwan Fatanna dan Wan Salleh.
Fattah juga mendedahkan dia turut mengambil inisiatif dengan mengikuti kelas vokal bagi mengasah lagi skil nyanyiannya.
“Syukur vokal untuk lagu ini semakin bagus. Seperti juga dalam lakonan, kalau selalu buat latihan pasti akan jadi lebih baik.
“Selain itu, saya juga mengikuti kelas vokal bersama Cikgu Syafi dan Mark Adam sebelum ini,” ujarnya.
Lagu Padamu mula dilancarkan sejak April lalu dan MV boleh ditonton di saluran Youtube Fattah Amin bermula 9 Jun lalu.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.
Foto: Universal Music Malaysia
Download aplikasi seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI