Berita

Filem Abang Adik Dipilih Wakili Malaysia Ke Oscar

Share

Perbadanan Kemajuan FIlem Malaysia (FINAS) telah mengumumkan pemilihan filem Abang Adik sebagai wakil Malaysia untuk dipertandingkan di Anugerah Akademi (Oscar) kali ke-97.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Finas, filem ini aka dipertandingkan dalam kategori Filem Cereka Antarabangsa dalam majlis anugerah berprestij itu yang bakal berlangsung pada Mac tahun hadapan.

Filem Abang Adik yang diterbitkan oleh More Entertainments Sdn. Bhd merupakan arahan sulung Jin Ong dan menampilkan lakonan Jack Tan dari Malaysia bergandingan dengan Kang Ren Wu dari Taiwan telah memenangi pelbagai anugerah tempatan dan antarabangsa.

“Filem ini telah mencatat kejayaan besar dengan memenangi 19 anugerah antarabangsa, membuktikan kemampuan filem Malaysia bersaing di peringkat global.

“Antara pencapaian tertinggi filem ini ialah memenangi Filem Terbaik di Festival Filem Asia New York (Uncaged competition ke-22) serta merangkul anugerah Golden Mulberry, Black Dragon Critics’ Award dan White Mulberry Award untuk Filem Cereka Terbaik di Festival Filem Far East ke-25 di Udine, Itali.

“Filem ini turut diiktiraf di Festival Filem Antarabangsa Fribourg ke-37 di Switzerland dan First Festival di China. Di peringkat tempatan, Abang Adik merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaikdi Malaysia Global Golden Awards (MGGA) 2024,” kata kenyataan itu.

Sesuai dengan kualiti tinggi dan mesej terbaik disampaikan, filem ini mendapat tontonan ramai sehingga mencapai kutipan tiket yang cukup memberangsangkan.

Filem ini mencipta fenomena pada 2023 dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM14.6 juta di Taiwan dan RM1.55 juta di Hong Kong, sekaligus menjadikannya filem Malaysia pertama yang mencatatkan rekod tayangan tertinggi.

Tayangan di Malaysia pada Disember 2023 pula mencatatkan kutipan sebanyak RM5.7 juta. Kini filem ini sedang ditayangkan di China bermula 21 September lalu dan setakat ini telah mengutip sebanyak RM2.2 juta.

Jika anda ingin menonton filem Abang Adik, filem ini sudah ditayangkan menerusi saluran penstriman popular, Netflix.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

Published by
Fiezreen