Hiburan

Filem La Luna Lakonan Sharifah Amani & Shaheizy Sam Dipilih Wakili Singapura Ke Oscar

Share

Jika Malaysia akan diwakili oleh filem Abang Adik, Singapura pula telah memilih filem La Luna sebagai wakil mereka bagi kategori filem cereka antarabangsa terbaik di Anugerah Akademi (Oscar) ke-97.

Menurut satu siaran media yang dikeluarkan oleh IMDA, filem arahan pengarah asal Singapura, M Raihan Halim telah dipilih oleh jawatankuasa pemilihan yang terdiri daripada ahli Jawatankuasa Penasihat Suruhanjaya Filem Singapura (SFC).

Menariknya filem La Luna merupakan filem berbahasa Melayu dan dibintangi oleh pelakon-pelakon asal Malaysia dan Singapura seperti Sharifah Amani, Shaheizy Sam, Wan Hanafi Su, Nadiya Nisaa dan Hisyam Hamid.

“Saya merasa rendah diri, kagum dan berbesar hati untuk mewakili Singapura dengan filem kecil kami, La Luna. Saya dan pasukan saya benar-benar terharu!” kongsi pengarah & penulis skrip, M. Raihan Halim.

Filem ini diterbitkan oleh Clover Films dan Papahan Films, kedua-duanya merupakan syarikat penerbitan Singapura, dengan kerjasama ACT 2 Pictures dan One Cool Film Malaysia.

M Raihan Halim

Filem La Luna merupakan filem kedua arahan pengarah tersebut yang diterbitkan sejak filem pertamanya, Banting. Filem itu membuat tayangan perdana dunia di Festival Filem Antarabangsa Tokyo yang diiktiraf FIAPF di bawah seksyen Masa Depan Asia, dan mengambil bahagian di Festival Filem Asia Jogja-Netpac tahun lepas.

Filem ini juga dipilih sebagai filem penutup di Festival Filem Antarabangsa Rotterdam dan ditayangkan di bahagian Panorama Antarabangsa Festival Filem Antarabangsa Shanghai awal tahun ini.

Pelakon utama, Sharifah Amani dan Shaheizy Sam turut menyatakan rasa bangga dan teruja mereka apabila karya lakonan mereka bakal dipertandingkan di anugerah berprestij antarabangsa seperti Oscar.

“Ini seperti impian setiap pelakon untuk menjadi sebahagian daripada acara anugerah paling berprestij di dunia, saya amat bersyukur,” ujar Shaheizy Sam.

Manakala Sharifah Amani yang memegang watak sebagai Hanie Abdullah pula berterima kasih kepada Singapura kerana menerima filem tersebut dengan baik.

“Menjadi Hanie Abdullah dalam La Luna merupakan pengalaman yang sangat peribadi bagi saya, dan kini, melihatnya diiktiraf oleh Singapura sebagai pemilihan rasmi mereka untuk Oscar adalah sesuatu yang mengagumkan.

“La Luna merupakan karya seni yang lahir daripada semangat dan kerja keras semua orang yang terlibat. Saya sangat berterima kasih kepada pasukan yang luar biasa di belakang La Luna, kepada Singapura kerana menerima cerita ini dan kepada setiap penonton yang sedikit sebanyak melihat diri mereka dalam filem ini.

“Pengiktirafan ini adalah untuk kita semua yang percaya kepada kuasa penceritaan untuk merapatkan jurang. Saya benar-benar bersyukur dan teruja dengan apa yang akan datang,” ujar Sharifah Amani.

Mengisahkan tentang Hanie yang pulang ke kampung dan membuka kedai pakaian dalam wanita sekaligus mengundang pelbagai polemik, filem La Luna yang ditayangkan di pawagam tahun lalu kini boleh ditonton menerusi saluran penstriman popular, Netflix.

++Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di halaman rasmi Telegram Media Hiburan

 

 

Published by
Fiezreen