Filem Operasi UFO Ambil Masa 2 Tahun Untuk Siap, Pengarah Abang Warna Syukur Lega – “Ia Makan Masa Disebabkan…”

Share

Filem Operasi UFO terbitan MBC Pictures Sdn Bhd. arahan Khairul Anuar Mat Noor atau Abang Warna menggunakan elemen kesan khas imej janaan komputer (CGI), sekali gus menjadikan filem sulung terbitan syarikat itu sebagai sesuatu yang boleh dibanggakan.

Disebabkan itu juga, menurut pengarahnya, Abang Warna filem berkenaan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan sebelum mula ditayangkan di Astro First sejak 5 Februari lalu.

“Penggambaran dijalankan pada bulan September 2020 dan ia memakan masa sedikit disebabkan proses suntingan yang menggunakan CGI. Dalam masa sama untuk kami mendapatkan kelulusan Astro First juga agak memakan masa.

“Kami menjalankan penggambaran ini selama 10 hari dan lokasinya di sekitar Kuala Lumpur. Lokasi lain di Batu Pahat, Johor kerana kami ingin mendapatkan suasana ladang nanas di sana,” katanya.

Filem komedi drama ini mengisahkan sekumpulan sahabat yang lari dari penderitaan di rumah orang tua dan mengejar ‘UFO ‘yang menjanjikan kehidupan awet muda sepanjang zaman.

Berkongsi mengenai kos pembikinan filem Operasi UFO itu pula, Abang Warna berkata naskhah berkenaan dihasilkan dengan bajet rendah.

“Cukup untuk dikatakan, bajet yang kami keluarkan adalah terhad dan itu bukanlah bajet sebenar untuk supertele ataupun filem. Kami tiada masalah apabila lewat ditayangkan kerana ia memakan masa dalam proses suntingan.

“Kebetulan juga penyunting kami mempunyai banyak projek yang perlu diselesaikan. Filem ini juga banyak kali diperbetulkan terutama dari segi muzik, gambar, ‘cutting point’ dan lain-lain lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Abang Warna akui bajet yang ada cuba dimanfaatkan sebaiknya dalam menghasilkan kualiti yang bagus untuk tayangan penonton di rumah.

“Untuk menghasilkan naskhah yang baik dengan bajet rendah memang sangat sukar. Jika ada bajet setiap proses penggambaran akan menjadi mudah dan akan dapat hasil yang terbaik.

“Cuma apabila bajet yang terhad kita tidak boleh dapat hasil yang terlalu baik dan banyak kekangan yang timbul. Dengan percubaan pertama ini saya harap pada sedikit kejayaan.

“Semoga dapat membuka mata ‘founder’ kami agar mereka lebih yakin untuk memberi bajet yang lebih besar dalam penghasilan supertele ataupun filem,” katanya.

Berkongsi lanjut, Abang Warna juga tidak menafikan perancangan asal adalah untuk menerbitkan telefilem.

“Sebenarnya pada mulanya hasrat kami adalah untuk membuat satu telefilem khas untuk TV3 dan juga Astro. Disebabkan kami ini syarikat yang baharu maka apabila kami nak cadangkan satu tajuk telefilem maka mereka tidak terima disebabkan sudah biasa dengan syarikat yang sudah ‘established’.

“Jadi, kami berhasrat untuk menghasilkan satu telefilem khas dan meletakkan bajet yang tinggi sedikit supaya dapat hasil yang terbaik. Dengan harapan apabila produk ini selesai, pihak TV3 atau Astro akan terima jika hasilnya bagus.

“Apabila sudah siap, ada antara kami yang cadangkan untuk cuba di Astro First pula. Alhamdulillah cerita ini diterima untuk ditayangkan oleh mereka,” katanya lagi.

Sementara itu, Abang Warna menambah, pasukan produksi juga berdepan cabaran dari segi masa selain bilangan pelakon yang ramai.

“Dalam perancangan awal penghasilan naskhah ini kami berhadapan dengan masalah masa yang agak terhad dan bilangan pelakon yang agak ramai maka banyak syot yang perlu dilakukan.

“Apatah lagi kita tidak boleh terlalu menekan pelakon terutama pelakon senior kerana mereka perlu ada masa bertenang dan berehat. Kadang-kadang penggambaran mula pagi dan habis lewat.

“Jadi, saya pun rasa serba salah untuk mengambil masa yang terlalu lama,” katanya yang bersyukur kerana proses penggambaran tetap berjalan lancar.

Filem Operasi UFO dibintangi oleh Wan Hanafi Su, Fauziah Nawi, Sharif ZERO, Jasmin Hamid, Lousi Alissa Chong, Rozita Che Wan dan Redza Rosli.

Bintang lain yang turut beraksi ialah Fahrin Ahmad, Vicha, Adeline Tsen, Hairi Safwan, Laura Olivia, Munir Pak Pandir, Wan Shade dan Mulyady Rudy.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini.

Published by
MH