Filem Khong-Khaek: The Djinn’s Curse membawa kelainan apabila menjadi filem seram Islamik pertama negara Gajah Putih itu.
Malah filem berkenaan turut mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya meraih kutipan box office sejak ditayangkan di Thailand mulai 28 September lalu.
Bermula 2 November lalu, Yusrych Global Sdn Bhd membawakan filem terbitan M Thirty Nine Co. Ltd. dan Monwichit Entertainment itu ke pawagam di negara ini.
Pengasas Yusrych Global Sdn. Bhd., Yusry Makmor berkata, pihaknya berminat membawa masuk filem ini untuk tayangan di Malaysia apabila menyedari trailer rasminya menjadi viral dan diperkatakan ramai di media sosial.
“Saya percaya filem ini akan pecah panggung, tambahan pula kutipan di Thailand sangat memberangsangkan iaitu sebanyak RM6 juta dalam tempoh 11 hari tayangan.
“Kalau melihat pada komen pula, rata-ratanya ramai yang teruja nak menonton,” ujarnya.
Sebelum ini, Yusrych Global Sdn Bhd bertindak sebagai penerbit dan edaran bersama untuk filem Anwar The Untold Story dan Khong-Khaek: The Djinn’s Curse menjadi filem kedua edaran syarikat berkenaan.
Sementara itu, pengarah filem ini, Kriangkrai Monvichit menjelaskan, idea untuk menghasilkan naskhah tersebut tercetus setelah isterinya yang suka menulis skrip bersendirian mengadu alami situasi mistik.
Hasil dari perbualan itulah, pasangan tersebut sepakat untuk menghasilkan sebuah filem seram dan akhirnya terhasil skrip filem Khong-Khaek: The Djinn’s Curse.
Ia dibarisi oleh para pelakon seperti Golf-Akara Lucas, TubFm-Anyarin Terathananpat, Mo-Amena Pinit, Marika Phraekhieocharoen, Piyarat Jatupong dan ramai lagi.
Menurut Kriangkrai lagi, mereka mengangkat tema berkaitan jin kerana mahu penonton lebih memahami kesan dan akibat buruk apabila manusia meminta pertolongan ataupun bersekongkol dengan perkara syukrik.
Khong-Khaek: The Djinn’s Curse mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Win yang berhijrah bersama keluarganya ke sebuah wilayah terpencil di Selatan Narathiwat apabila merasakan yang keluarga mereka itu seperti diganggu jin.
Di sebalik mahu mencari perlindungan daripada gangguan yang dialami mereka, ternyata keluarga berkenaan terjerumus dengan bahaya yang lebih besar.
Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan, klik di sini