Fourtwnty Berdansa Dengan Peminat Di KL, Dedah Band Pernah Hampir Bubar Sebab Tiada Show

Share

Band terkenal Indonesia, Fourtwnty akui teruja apabila dapat kembali lagi ke Kuala Lumpur untuk Konsert Heliotropisme 2022 di Zepp selepas kali terkahir membuat persembahan di sini pada tahun 2019.

Menurut vokalisnya, Ari Lesmana, Fourtwnty berasa amat bertuah kerana diberikan kesempatan untuk mengadakan persembahan di vanue yang sememangnya menjadi idaman para penggiat seni.

Katanya lagi, dia juga terharu dengan kehadiran para peminat yang memberikan energi luar biasa sepanjang konsert yang berlangsung selama hampir dua jam itu.

“Kami sudah menganggap Kuala Lumpur seperti rumah kedua kami. Suasanya seperti berada di rumah. Ada Jalan Raja Bot dan ada nasi kandar.

“Kalian semua sememangnya luar biasa. Kami sangat teruja dengan sambutan luar biasa ini. Disebabkan konsert di Kuala Lumpur, kami jadi bertambah semangat untuk berlatih hampir setiap hari.

“Oleh itu, sekembalinya kami ke Indonesia nanti, kami akan menyiapkan album kami yang terbaru yang sebenarnya sudah tertunda hampir empat tahun,” katanya.

Pada konsert tersebut, Fourtwnty telah membawakan hampir 17 buah lagu antaranya Zona Nyaman, Fana Merah Jambu dan lagu terbaru mereka yang berjudul Mangu.

Para peminat juga turut dihiburkan dengan rekaan grafik yang sangat kreatif pada skrin layar gergasi sepanjang konsert berlangsung.

Sewaktu membawakan lagu, Merindukanmu dendangan asal band popular Indonesia, D’Masiv, Ari turut menyeru para peminat untuk tidak merendah-rendahkan hasil seni orang lain hanya kerana mereka kini sudah bergelar artis ‘mainstream’.

“Jangan sesekali memperkotak-katikkan muzik. Kalau tak suka skip sahaja. Tak perlu memberikan sebarang komen. Ini hasil usaha orang lain. Jangan sesekali kita merandahkan.

“Saya tahu jauh disudut hati, kalian sukakan lagu ini. Tak kisahlah sama ada artis ‘indiependent’ atau ‘mainstream’, kita sokong sahaja mereka semua,” ujarnya lagi

Ketika ditemui media, sepanjang 14 tahun bergiat aktif di dalam industri muzik Indonesia, Ari mendedahkan Fourtwnty sebenarnya turut tidak ketinggalan merasai saat jatuh dan bangun sebagai anak seni.

Katanya lagi, Fourtwnty hampir dibubarkan pada 2015 berikutan pelbagai rintangan termasuklah tiada pendapatan pada ketika itu.

“Meskipun lagu kami kerap dimainkan di radio tetapi kami tidak dipanggil untuk membuat persembahan.

“Kami juga terpaksa kumpulkan wang masing-masing yang masih ada untuk belanja makan kami selama tiga hari ke depan.

“Jenama-jenama besar juga menolak kami ketika itu. Kami cuma mencari pendapatan dengan melakukan persembahan depan khalayak atau ‘busking’ saja,” katanya.

Namun, berkat kesabaran dan semangat setia kawan sesama ahli kumpulan, kini nama Fourtwnty semakin popular bukan sahaja di Indonesia tetapi juga di negara jiran.

Malah, jadual mereka juga dikatakan sangat padat dengan siri jelajah konsert di seluruh Indonesia

Konsert Heliotropisme 2022 telah berlangsung selama dua hari pada 1 dan 2 Oktober lalu.

Selain Ari, kumpulan itu turut dianggotai Nuwi, Agi, Primanda ridho, dan Ryan.

Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara. Jangan lupa ikuti kami di Telegram rasmi Media Hiburan. Klik di sini.

Published by
Aizam Manaf